“I don’t mind leaving medical” begitulah kata Affa apabila kami berjumpa semalam. Affa mungkin akan tinggalkan kerjayanya sebagai doktor jika dia membuat keputusan mengikut suaminya ke UK untuk menyambung pengajian peringkat sarjana. Saya kata “Kenapa tak jadi MO? Tak pun sambung MA dekat sana?”. Kata Affa, dia lebih rela berada di perpustakaan membaca dari berkerja di wad. Perpustakaan di sana sungguh menakjubkan dengan pelbagai khazanah ilmu. Dia perlu buat keputusan sebaik mungkin jika dia mahu menyambung pelajaran - bukan senang katanya.
Affa bercerita tentang rakan-rakannya yang sudah hilang minat setelah bergelut dalam bidang ini. Ramai antara mereka hanya mahu habiskan kontrak dan berhenti dari menjadi seorang profesional bergelar doktor. Jadual kerja yang padat dan memenatkan mungkin antara faktor mereka mengambil keputusan untuk beralih ke bidang MLM. Ya, banyak doktor terjerumus ke bidang MLM ini. Nampaknya hal doktor terjebak dengan skim MLM masih berleluasa. Mungkin MLM merupakan escape plan untuk mereka melarikan diri dari bidang yang memerlukan kudrat yang tiada tolak bandingnya.
Sejak berpisah, saya tidak lagi mengetahui hiruk-pikuk dunia perubatan. Apatah lagi antara adik-beradik, tiada seorang pun antara kami yang mahu menjadi doktor. Agaknya, kami terkesan kerana melihat kesibukan dan kepenatan arwah Ummi bila tamat rutin di hospital. Kerjaya doktor sememangnya nampak prestij kerana gaji yang di tawarkan kelihatan agak lumayan (pada peringkat awal) namun kudrat yang perlu di hulurkan tidak bersempadan. Tenaga, komitmen dan minat yang berterusan perlu ada jika mahu kekal lama menyumbang budi dalam bidang ini.
Sejak mengenali Affa. dia tak pernah merungut tentang kerjayanya. Suaminya juga banyak membantu, memberi dorongan dan semangat. Aizat seorang suami yang prihatin. Selalu menghantar makanan jika Affa bertugas on call. Mereka telah mendirikan rumah tangga selama 6 tahun dan masih belum di kurniakan cahaya mata. Saya tidak pernah bertanya tentang anak; mungkin sahaja mereka sibuk dan belum bersedia memikul tanggungjawab baru. Mungkin juga mereka masih tercari-cari kompas kehidupan setelah Aizat berhenti kerja sebagai jurutera kimia tahun lepas.
Saya berjumpa dengan Affa untuk mengambil buku dari koleksi suaminya yang hendak di jual sebagai wang tambah menyambung pengajian di UK nanti. “Banyak ni abang” katanya ketika saya menghulurkan cek sebagai bayaran. “Ambilah, rezeki Ramadan. Nanti dekat UK kalau ada masalah jangan segan SMS abang”. Dia menyambut huluran cek dengan senyuman. “Terima kasih. Semua buku abang tempah ada dalam kotak. Abang boleh semak dulu”. Kami tak berbual panjang kerana saya tahu dia masih penat setelah tamat postcall dan saya pula perlu ambil Adam dari sekolah.
_
Jika seorang perempuan mahu tinggalkan kerjaya yang paling di sayanginya demi seorang lelaki, apa lagi bukti kasih sayangnya sebagai seorang isteri?. Saya tahu, jika saya di tempat Aizat, perempuan yang ada bersama saya tak akan tinggalkan kerjayanya demi saya. Mungkin saya yang akan di tinggalkan demi kerjayanya. Saya balik ke rumah dengan doa penuh di dada moga keberangkatan mereka menempuh perjalanan mencari ilmu dipermudahkan. Mereka pasangan yang manis. Saya selalu gelarkan mereka pasangan ilmuwan yang tak lokek berkongsi ilmu.