Nothing marks a man's character better than his attraction to intelligence. ― Terry Goodkind.
Ketika di Kino tempoh hari, mata saya terpegun melihat seorang perempuan berkulit hitam manis, berbaju kurung Kedah dengan kain kipas. Kurus tinggi orangnya. Sungguh manis bila di pandang. Tambah manis bila dia tersenyum. Perempuan yang menyukai busana Melayu sudah semakin jarang di temui apatah lagi yang suka berkurung Kedah moden. Dia nampak classy, elegan, dan mempesonakan. Dari jauh tak dapat di nafikan dia kelihatan sangat manis dan cantik.
Dua kali bertemu dengannya dan kedua-duanya pada hari Selasa. Apakah mungkin rutin mingguannya membeli buku di Kino atau sekadar singgah untuk melepaskan rindu pada harum kedai buku? Persoalan itu masih belum dapat di jawab. Tempoh hari ketika bertemu dengannya, dia sedang leka membelek beberapa buah buku karangan Rehman Rashid. Saya tak nafikan, saya begitu kagum melihat cara dia membawa diri.
Melihat dia membeli buku-buku Rehman Rashid, saya terpanggil untuk turut membelinya. Hari itu saya beli ketiga-tiga karya Rehman Rashid iaitu Peninsula: A Story of Malaysia, Small Town: A Personal Tribute To Kuala Kubu Baru, Hulu Selangor, Malaysia, dan Malaysian Journey. Perempuan berkurung Kedah meninggalkan Kino setelah membuat bayaran di kaunter. Haruman minyak wanginya, Chanel, seolah-olah masih berlegar hingga kini.
Saya membawa salah satu buku Rehman Rashid ke Hawaii. Ketika membaca muka surat awal, saya terkenangkan perempuan berkurung Kedah. Apakah saya masih mempunyai peluang untuk bertemu dengannya pada setiap hari Selasa atau dia hilang begitu saja tanpa saya sempat mengenal dirinya?. Saya, barangkali, amat selesa dan mudah terpaut hati (terpesona maksudnya) dengan wanita cerdik dan saya kira dia salah satu darinya.