Sunday, March 13, 2016

Rindu Itu Pasti

Di rumah mak. Selesai mengemas buku, makalah, jurnal, majalah, kertas kerja dan fail yang bertimbun untuk di bawa balik ke Ipoh. Mak ada banyak koleksi buku pelbagai bidang. Tak sangka pula mak mengumpul buku-buku dan dokumen lama. Sekarang baru tahu ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi!. Buku tahun 1920-an pun ada. Bawa balik ke Ipoh sedikit demi sedikit. Ruang buku di rumah sudah diperbesar setelah selesai memasang reading net untuk anak-anak tempoh hari. 

Bilik kerja walid penuh dengan buku-buku bertemakan seni - seni ukir yang paling banyak. Walid agaknya gemar mengumpul buku berkaitan kapal. Boleh di katakan semua buku walid tentang dunia perkapalan dari pelbagai pelusuk dunia. Atas sebab itu taklah menghairankan bila terjumpa berdosen replika kapal di bilik ini - di susun rapi di dalam almari. 

Walid, alangkah indah jika kita dapat duduk berbual sambil mencicip kopi dan bercerita tentang kapal dan samudera. Walid pergi terlalu awal. Perkenalan kita juga singkat, amat singkat sekali. Masih banyak yang tak di ketahui. Masih banyak rahsia yang belum di terokai. Mungkin perlu lebih rajin datang ke sini untuk menyingkap tabir rahsia, untuk lebih memahami walid dan mak.

Bawa pulang beberapa replika kapal ke Ipoh bersama dua kotak buku walid. Berhasrat menempah almari yang lebih besar. Boleh letakkan replika kapal walid di dalamnya. Ada sesetengah replika hasil tangan walid sendiri. Ya, walid pandai membuat replika kapal dan seni ukirannya sangat halus. Malangnya, bakat itu tak tertumpah ke diri ini. Kalaulah Tuhan izinkan kita hidup sebagai sebuah keluarga lebih lama pasti lebih indah.

.

Rindu itu pasti.



Rumah Mak
4.30am