Bila kita ada anak, anak adalah segala-galanya dalam hidup kita. Kita tentu tak dapat menjadi ayah yang sempurna untuk anak-anak kita. Kadang-kadang untuk berlaku adil pada anak-anak sesuatu yang mustahil di lakukan. Ada antara anak-anak yang berasa kita lebihkan kakak/abang/adik mereka. Mereka terasa di pinggirkan dan kurang di beri perhatian.
Anak-anak suatu amanah yang indah. Tak boleh di beli dengan wang ringgit. Tak boleh di cari ganti. Tak mungkin patah tumbuh hilang berganti. Ada orang bertahun kahwin tak dapat anak. Anak orang kurang rezeki tapi berderet anak. Ada orang hidup serba lengkap tapi rumah belum cukup sempurna bila tak ada anak. Sesetengah orang di datangkan ujian hidup dengan lambat/tidak di berikan zuriat. Ia sesuatu yang menyedihkan, pasti, tapi tentu di ganti dengan sesuatu yang lain.
Menjadi seorang ayah tunggal dengan tiga orang anak sangat mencabar fizikal dan mental. Melayan ketiga-tiga anak dengan minat, bakat dan kecenderungan yang berbeza merupakan cabaran yang hebat. Ada yang tiba-tiba datang ke bilik saat kita buntu menyelesaikan masalah syarikat dengan membawa mainan untuk di selesaikan (biasanya puzzle). Ada yang minta di gorengkan ayam jam 4 pagi saat kita baru terlelap mata. Ada pula yang datang menangis kerana tak dapat lakukan sesuatu yang mereka benar-benar ingin buat - misalnya masak kek (tapi hangus).
Anak-anak selalu akan menjadi penguat semangat hidup kita. Lapkan air mata saat kita tak dapat lagi menanggung kesedihan walaupun cuba di tahan atau buatkan kita sarapan pagi. Paling tidak pun menulis di kertas memo dengan kata-kata semangat. Anak-anak selalu ada daya kreatif yang tinggi. Mereka malah mampu memahami desak perasaan orang dewasa cuma mungkin tak pandai berkata-kata.