Saturday, September 06, 2014

Mimpi-Mimpi Indah

1.

Balik Malaysia. Untuk kali pertama dan terakhir tidur di S2 Heights. Rumah yang penuh impian dan mimpi-mimpi yang indah. Rumah yang penuh harapan dan cinta. Ambil keputusan untuk jual rumah ini walaupun berat hati. Rumah pertama yang di beli ketika mula-mula balik ke Malaysia dulu. Rumah ini yang paling dekat di hati.

Jam 2.22 pagi ketika melangkah masuk, lagu yang sedang berputar di radio ialah You’re My Everything. Yang aku mampu lakukan ketika itu cuma senyum dan banyak perkara manis bermain di fikiran. Dia pernah nyanyikan lagu ini untuk aku suatu ketika dulu.


2.

Esok ada kenduri kesyukuran. Hazira dapat melanjutkan pengajian ke UPM. Ia satu yang amat membanggakan buat remaja Pusat Komunit. Dapat berita ketika di Paris tempoh hari. Hazira menjadi ikon baru di sini. Menjadi pembakar semangat. Semua orang boleh berjaya jika mahu berusaha dengan tekun dan sabar.

Aktiviti di Pusat Komuniti berjalan seperti biasa. Ada beberapa program penting hingga hujung tahun ini di bawah pantauan dan seliaan Qhalib dan rakan-rakannya. Mereka ingin sumbangkan tenaga secara sukarela untuk membangunkan Pusat Komuniti ke tahap yang lebih baik.

Akan ke Sabah dan Sarawak untuk melihat perkembangan Pusat Komuniti di sana. Program sudah pun berjalan mengikut jadual. Ada beberapa penambahbaikan akan di lakukan untuk lebih memberi keselesaan kepada pengunjung. Ada beberapa kotak buku akan di hantar ke sana.


3.

Hari Isnin nanti perlu ke butik bertemu JM untuk menempah pakaian bagi majlis perkahwinan Ocio. Perlu dua persalinan – akad nikah dan resepsi. Tempah pakaian untuk anak-anak sekali. Majlis Ocio pada pertengahan Disember nanti di Paris. Ocio mahu sebuah majlis yang ringkas.

Hadirin sekitar 250 orang sahaja. Keluarga Zara mahu resepsi di buat di Paris. Di sebelah pihak Zara tidak akan ada apa-apa resepsi. Ia sesuatu majlis yang agak ganjil sebenarnya. Belum pernah dalam sejarah majlis di pihak perempuan tidak ada. Keseluruhan persiapan akan di buat oleh pihak lelaki. Ia memang sesuatu yang amat ganjil.

Ayah Zara belum pernah sampai ke Paris. Jadi, dia mahu majlis perkahwinan Zara di jalankan di Paris. Oleh sebab itu, dia mempunyai alasan yang amat kukuh untuk ke Perancis. Bunyinya kelihatan amat pelik tapi itulah realitinya. Kad kahwin belum siap di cetak – Ocio masih belum siapkan senarai jemputan.


4.

16 September nanti akan jalani satu lagi pembedahan. Jadi perlu kembali semula ke Paris. Umar beberapa kali minta mahu di bawa ke Masjid Nabawi. Adam mahu berenang di Laut Mati dan Huda mahu melihat Al-Hambra. Moga cepat sembuh dan di beri kudrat untuk penuhi impian pengembaraan intelek mereka.

Mereka sedang membesar. Ada banyak persoalan dalam diri mereka. Mungkin, akan lama tinggalkan Malaysia selepas ini. Mungkin, tidak lagi menetap di sini. Belum ada perancangan yang rapi. Rancangan masih berubah-ubah. Berhajat juga untuk belayar bersama anak-anak bila sembuh sepenuhnya nanti.