Thursday, December 12, 2013

2:22am

1.

Aku kembali lagi. Mengutip memori yang saja aku tinggalkan di sini. Carl, sekolah kita masih tidak berubah. Susun aturnya masih sama cuma ada penambahan dewan. Dewan baru berhampiran asrama.

Kedai makan tempat kita melepak dulu sudah tiada lagi. Orang di sini kata kedai itu sudah muflis. Aku cuba mengingat nama kedai tapi aku gagal. Aku rasa nama kedai itu Kinto. Restoran Kenas juga sudah muflis. Studio Zai Am tempat kau jamming dulu masih ada. Pemilik yang sama.


2.

Aku ke rumah Aunty Mai. Rumah kesayangan kita semua. Rumah masih bersih. Aku rasa Uncle Rizal ada ke sini – membersihkan habuk dan debu. Sejak kau tak ada, tak ada sesiapa yang rajin ke sini. 

Hampir berbelas tahun berlalu. Uncle Rizal masih setia. Sesetia bulan pada langit malam. Cinta selalu membuatkan kita celaru. Aku tak berjumpa dengannya. Kalau berjumpa pun aku rasa aku tak lagi kenal dia. Sosok yang aku tak begitu ingat.


3.

Adam merengek. Dia rindu Umar. Jadi aku bawa dia ke sini. Dia kanak-kanak yang periang. Kawannya baru saja meninggal akibat kegagalan fungsi buah pinggang. Aku jarang mengingat kau sebagai adik. Kau seperti seorang abang pada aku.

Aku teringatkan Om beberapa hari lepas kemudian Am seterusnya Poci dan Iman. Kalau semua masih ada aku rasa kita keluarga paling gembira di dunia. Aku selalu harap Om meninggal bukan kerana bunuh diri. Aku cuba sedapkan hati. Aku rasa kecewa dan tak mampu memikirkan tentang itu.


4.

Apabila terbaca kisah seorang pemuda menjadi atheist akibat tidak tahan dugaan hidup, ingatan aku melayang pada kau. Dugaan hidup selalu membuatkan kita goyah. Aku percaya kau manusia yang sangat baik sungguhpun setiap malam kau bertemankan botol arak di pantai. Aku percaya kau bukan seorang pemabuk. Kau minum untuk melepaskan rasa di hati.

Rasa Tuhan bebankan kau dengan dugaan yang maha berat. Rasa Tuhan tak pernah sayangkan kau. Sejak kecil hingga meningkat dewasa hidup kau tak pernah surut dengan dugaan. Kau pilih jalan yang paling Ummi kesali – minum arak. Setiap orang yang mengenali kau amat kecewa dengan jalan yang kau pilih.


5.

Aku selalu tanya pada diri sendiri. Kenapa Tuhan suka uji manusia? Kenapa manusia selalu di datangi ujian yang berat. Om pilih untuk bunuh diri. Kau pilih untuk mabuk. Aku juga pernah pilih untuk bunuh diri dan keluar dari agama yang aku anuti.

Aku tak pernah berniat untuk keluar agama. Cuma lintasan itu selalu bermain di fikiran. Tidak ada siapa yang mengetahuinya. Lintasan itu cuma datang bila aku tertekan di himpit dugaan yang berat termasuklah sakit yang aku tanggung ini.

Dan aku masih waras dan itu bukan punca aku berminat untuk belajar teologi.


6.

Aku harap malam ini bila aku tidur aku akan kembali ke zaman ketika kita masih kecil. Kalau kau jumpa Ummi, tolong cium pipi Ummi untuk aku. Aku sangat rindukan Ummi.


Semoga kita dapat berjumpa lagi.