1.
Entah kenapa
saya gagahkan diri untuk bangun. Mungkin sebab mata degil tak mahu tidur dan kepala rasa sakit. Saat ini
semua orang enak lelapkan mata. Jam masih awal kecuali untuk sesetengah
orang yang perlu bangun seawal begini untuk mencari nafkah seperti nelayan dan penoreh
getah.
Tiga hari
berturut-turut saya membuat refleksi diri. Saya dapati diri saya masih
ragu-ragu dengan kebolehan diri. Tahap keyakinan diri makin rendah – saya hampir
tak keluar rumah jika tidak mempunyai urusan. Saya ke masjid hanya untuk solat
Subuh. Dengan alasan waktu itu tidak ramai jemaah maka saya hadirkan diri ke
masjid.
Saya masih
berfikir banyak perkara. Saya sudah melalui banyak perkara tetapi kenapa saya
masih lemah dan cepat berputus asa bila di turunkan ujian yang berat sedikit dari
ujian-ujian sebelumnya. Kenapa saya masih gagal membina imej positif dalam diri
saya? Kenapa saya masih tak percaya dengan setiap perkara yang saya usahakan?
Paling penting
saya selalu seolah-olah berputus asa dengan Tuhan. Saya tahu sikap saya amat
berdosa bila saya putuskan untuk tidak mahu berdoa lagi. Saya tak mahu berdoa
untuk apa-apa. Saya tak mahu meminta kerana saya sudah cukup terluka dengan
kekecewaan. Saya putus harap dengan Tuhan.
Benar, manusia
akan menjadi kufur bila di timpa bencana/musibah dan saya salah seorang
darinya. Dalam saya berputus harap dengan Tuhan sebenarnya saya masih diam-diam
berharap agar Tuhan dengar bisik hati saya, dengar doa-doa saya. Saya berharap
dalam diam-diam.
2.
“Sekurang-kurangnya
abang masih boleh makan”
Betul. Saya
terlupa dengan nikmat yang Tuhan pinjamkan. Saya masih mampu makan sekurang-kurangnya
melalui tiub. Saya terlupa nikmat itu. Tuhan masih berikan. Terima kasih sayang
atas ingatan yang ikhlas.
Saya menjadi
sebegini kesal kerana banyak doa/harapan yang tidak menjadi kenyataan. Banyak
perkara yang saya harap/idam-idamkan tak mampu saya genggam. Salah saya. Saya
terlalu melihat benda/perkara yang tak mampu saya miliki. Saya tidak pun menoleh perkara-perkara yang saya tak minta tapi di beri.
Saya gagal melihat perkara-perkara yang saya miliki. Saya terlampau sibuk memikirkan perkara-perkara
yang tak dapat saya genggam. Mungkin sifat manusia yang tamak haloba dan tak pernah
puas buatkan saya jadi begini. Saya seharusnya belajar bersyukur dengan apa
yang saya miliki. Lupakan perkara-perkara yang tak mampu saya gapai. Saya harus
mendidik diri agar memandang dengan rasa bersyukur dengan setiap perkara yang
saya ada.
Saya ada rumah
sempurna untuk di diami, saya ada kenderaan, saya ada anak-anak yang comel lagi
bijak. Kenapa saya buta dan sibuk memikirkan untuk mencapai sesuatu yang Tuhan
telah tetapkan bukan untuk saya? Walau sehabis daya saya cuba, saya tak akan
mampu memilikinya. Saya masih manusia bongkak yang tak pernah cuba bersyukur,
menerima seadanya takdir yang di tulis.
Menerima takdir
sesuatu yang amat pedih. Kita tak boleh memilih takdir hidup kita walaupun kita
sentiasa ada dua pilihan. Takdir tidak selalu menyebelahi kita. Selalunya,
perkara yang kita paling benci kita akan dapat. Perkara yang paling kita
idam-idamkan tak di berikan Tuhan. Tuhan punya agenda untuk kita. DIA
mencorak warnakan hidup kita dengan penuh misteri dan makna tersembunyi.
3.
Takdir tak
pernah menjadi mudah untuk kita. Kegembiraan / kebahagiaan orang lain sering
membuat kita terhiris. Kita mudah patah semangat. Kita mudah tertekan dengan
persekitaran. Tekanan yang tidak terkawal boleh membuat kita jadi gila. Saya
pernah cuba membunuh diri kerana tertekan. Saat itu saya tak langsung
memikirkan bahawa orang yang bunuh diri tiada tempat di sisi Tuhan. Saya hanya
fikirkan saya bebas dari kesakitan dunia, bebas dari segala masalah.
“Masalah tak
akan selesai selepas kita mati. Lepas mati kita adalah masalah lain”. Saya
catat dalam buku nota. Saya baca berulang-ulang kali bila saya rasa
tertekan. Saya cuba kuatkan diri, tabahkan hati. Saya terlalu mencuba hingga
saya hampir membunuh diri. Terima kasih atas ingatan itu, sayang. Saya ingat
sampai hari ini.
Bunuh diri
antara 10 penyebab kematian di kebanyakan negara. Di Malaysia, menurut
National Suicidal Registry Malaysia (NSRM) sebanyak 425 kes bunuh diri di
laporkan dari Januari hingga Ogos 2010. Secara puratanya 60 kes sebulan. Kaum
Cina adalah antara golongan paling tinggi iaitu 48% di ikuti India 21% dan
Melayu 18%. Nampaknya orang Melayu (yang saya andaikan Islam) sudah menampakan
trend bunuh diri (perbuatan yang paling di cegah agama).
Data NSRM juga
mendapati bahawa kaum lelaki merupakan golongan paling banyak bunuh diri. Jika
di nisbahkan, 3 lelaki 1 perempuan.
Kebiasaannya,
anda akan di syorkan berjumpa psikoterapi untuk menjadi terapi yang di panggil
ECT atau electroconvulsive therapy
atau mengambil ubat anti-depresi. Tekanan bukan suatu perkara yang boleh di
pandang remeh. Sokongan keluarga, menjalani terapi, mengubah persekitaran,
pengambilan ubat dan belajar menyelesaikan masalah dengan cara yang betul
antara cara terbaik untuk mengatasi tekanan.
Mujurlah saya
tak termasuk dalam statistik bunuh diri.
4.
Saya simpulkan
refleksi diri kali ini ialah saya gagal menerima takdir dengan penuh redha.
Saya masih belum redha dengan keadaan sekarang. Saya perlu lupakan kehidupan
yang lepas kerana saya tak mungkin mendapatkannya kembali. Saya perlu hidup
dengan cara hari ini. Saya juga perlu luaskan pandangan dan banyak bersyukur
atas setiap nikmat/rahmat yang Tuhan pinjamkan.
Saya perlu
berusaha untuk bekerja dan mengumpul duit. Dadah yang saya ambil untuk mengawal
pembiakan sel kanser berjumlah RM 8 ribu sebulan. Semalam, saya di beritahu kos
telah meningkat ke RM 12 ribu. Kos dialisis sekitar RM 3000 sebulan atau RM 750 seminggu. Ini
belum termasuk kos untuk makanan tambahan, ubat-ubat untuk rawatan psikiatri, kos radioterapi, kimoterapi dan lain-lain.
Walau apa pun
ubat yang saya ambil, kanser sememangnya tidak boleh di rawat hingga sembuh
walau pun menjalani kimoterapi.
*Mengikut Clinical Oncology (2004) 16:549-506: Overall, chemotherapy contributes just over 2% to improved survival in cancer patients in Australia and the US, eight years later, the conclusion has not been refuted.
Journal of the National Cancer Institute of NIH (USA), Sept 1993: Chemotherapy helped only 7% of patients in terms of “durable response” and prolonging survival.
Lancer, 1991, Vol. 337, p. 901: “Many oncologists recommed chemotherapy for almost any type of cancer, with a faith that is unshaken by the almost constant failures” – Dr. Albert Braverman, Medical Oncology in the 90’s
**Sumber: Dr. Amir Farid
Jaga kesihatan dan syukuri nikmat Tuhan.