Thursday, June 07, 2012

Luar Biasa


Siang tadi saya menziarah seseorang di hospital. Anak jiran saya yang cuba bunuh diri akibat tekanan putus cinta. Dia seorang pelajar cemerlang. Beroleh 10A dalam SPM. Terbang ke negara jiran mengikuti Kejuruteraan Audio dan kini sudah bekerja. Hatinya terpaut pada seseorang di negara seberang. Negara Kota Singa. 

Entah apa yang menyebabkan mereka putus dan dia mengambil keputusan drastik dengan mengambil ganja. Hari ini dia seorang penagih tegar ganja. Cinta sememangnya membuatkan manusia gila dan hilang waras. Cinta itu sesuatu yang luar biasa. Saya tak begitu mengenalinya. Tiba di wad saya menyapa seperti kenalan lama.

Dan dia bercakap soal cintanya yang tidak kesampaian. Dia meluahkan tentang soal manusia di sekeliling yang cuba menghulur tangan membantu tetapi hakikatnya mereka tidak memahami, tidak merasai sakit yang dia rasai. Patah hati sememangnya sukar untuk di hadapi – perit, pedih dan amat sedih. Hanya orang yang merasainya saja yang faham.

Ramai yang menghulur tangan membantu tapi dia enggan beri peluang untuk dirinya di bantu. Pendek kata dia tak mahu di bantu. Dia merasakan satu dunia tidak faham kesakitan yang sekian lama di pendam. Cinta membuatkan kita gila dan kurang rasional. Kesakitan akibat cinta memang tiada tandingan. Sebab itulah kisah Laila Majnun malar hijau hingga hari ini. Di kenang-kenang bergenerasi lamanya. 

Apa sebenarnya cinta? Tiada siapa ada jawapannya. Malah Leo Tolstoy sendiri pernah berkata bahawa 

“Aku tidak tahu apa yang orang maksud dengan cinta. Jika cinta adalah hal-hal yang sudah kubaca dan kudengar, maka aku belum pernah mengalaminya”

Hidup kita banyak di pandu oleh hati dan bukannya minda. Kita lebih beremosi dari berakal. Kata Lord Chesterfield

 “ Men, as well as women, are much oftener led by their hearts than by their understanding”. 

Berita tentang gadis lari ke Lombok atau lelaki terjun dari bangunan tinggi kerana cinta bukan cerita asing. Cinta mengambil hampir sebahagian dari hidup kita. Patah hati membuat kita ibarat mati. Hati dan minda kita celaru. Otak kita beku. Selesai persoalan hati semuanya akan jadi seperti biasa, seperti tiada apa-apa. 

Nasihat saya pada si lelaki patah hati tadi mudah saja. Jika dia benar-benar sayangkan perempuan itu – rebutlah kembali hatinya. Sungguh-sungguh. Kesungguhan seorang lelaki menakluk hati perempuan mudah membuatkan perempuan lembut hati. Ini semua akan memakan masa yang panjang. Kesabaran dan kesungguhan amat diperlukan. Ia ibarat komitmen yang di ikat di tangkai hati. 

Kejar atau lepaskan dia pergi. Pilihan ada di hati.