Saturday, November 01, 2025

"Abang rindu nak balik Malaysia"
"Wanna go back and stay for a couple of months, or at least a year?"
"…tapi…hmm…"
"Kita balik aje. Ase tak okey kita pindah"
"Ara rasa okey ke?"
"Jalan terus. Okey kita stay, tak okey kita bye. Tak susah pun"
"Kita nak stay mana?"
"Putrajaya?"
"PD?"
"Okey"
"Tak ada bantahan?"
"Nope"
"Kalau rumah dekat Sendayan dah siap boleh masuk. Pertengahan 2026. Lambat lagi"
"Kita senanya nak tanya, tapi abang dah jawab"
_

"Askar kita macam mana? Nak daftar masuk sekolah?"
"Yuran berapa, bang?"
"Satu orang RM 2700 basic"
"Astu nak tambah triplet hihihi"
"Boleh je. Kata on 2026"
"Duit memahami kita tak?"
"Kita orang Islam. Orang Islam jangan risau pasal rezeki. Allah bagi kita ambil. Tambah, bersyukur. Tak ada rezeki tambah pun bersyukur yang sedia ada"
"Tiba nak sekolah. Macam semalam aje lahirkan dia orang. Sakit bersalin still terasa tau"
"Ye la. Ara pun makin tua"
"Tua jangan sebut eh"
"Hahahahaha"
_

"Tak jadi la"
"Astu kita cakap jangan fikir"
"Banyak lagi tempat kita boleh duduk"
"Kajang misalnya"
"Beli yang dekat sikit. Senang nak skodeng guna teropong"
"Gatal"
"Nama pun laki. Mana ada laki tak gatal"


31-10-2025
Hai Ara,

Abang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Velana seawal jam 7:20 pagi. Penerbangan Ara di jangka tiba jam 7:45 pagi. Kembar masih tidur semasa abang keluar rumah. Kita kemudian singgah di Meraki Coffee Roasters. Kata penduduk tempatan, kopi di sini sangat sedap dan ternyata mereka benar. Nampaknya, kafe ini telah menangkap hati kita untuk berlama-lama menikmati aroma kopi yang hangat ditemani perbualan semi berat di awal pagi. Kita kemudian melalui lorong-lorong pejalan kaki menuju kedai buku. Banyak seleksi yang menarik hati tetapi belum cukup memikat seperti kedai buku di Cyprus. Abang sangat menyukai kedai buku di Cyprus – Bibliocosmos Bookshop dan Rüstem Kitabevi terutamanya.   Buku-buku langka di Cyprus  sangat mengujakan seperti di Jimbocho, Jepun. 

Abang menyukai Cyprus kerana keindahan budayanya yang rencam –  antara Turki dan Greece yang membentuk identiti tersendiri bagi pulau kecil ini. Panoramanya menakjubkan, dengan pantai  jernih sejauh mata memandang. Sejak ketegangan geopolitik antara Israel dan Iran meletus, gelombang migrasi warga Israel ke Cyprus semakin meningkat. Menurut Stefanos Stefanou, Setiausaha Agung parti pembangkang AKEL, terdapat kebimbangan serius mengenai pembelian hartanah oleh rakyat Israel secara besar-besaran, khususnya di kawasan tumpuan seperti Limassol dan Larnaca. Dari tahun 2021 hingga Januari 2025, sebanyak 1,406 hartanah telah dibeli oleh warga Israel di Larnaca, namun hanya 481 daripadanya mempunyai surat hak milik yang sah. Angka ini pasti akan terus meningkat.

Syarat pembelian hartanah bagi warga asing ialah tanah yang tidak dibahagikan kepada lot (plot) sehingga 4,000 m². Stefanou menegaskan bahawa pembelian ini bersifat bersasar, di sertai pembentukan komuniti berpagar (gated communities) yang hanya boleh diakses oleh warga Israel, serta pembangunan sekolah Zionis dan sinagog sebagai sebahagian daripada strategi “pengaruh Israel”. Beliau memberi amaran bahawa sekiranya tiada tindakan segera, tanah Cyprus mungkin “tidak lagi menjadi milik orang Cyprus.” Hidup dalam kalangan warga Israel tidak selalu mendamaikan. Mereka sering membuat bising, membuang sampah sesuka hati dan sikap eksklusif yang berakar pada mentaliti Chutzpah sering menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk tempatan. 

Pada 10 Oktober 2025, Bangkok Post melaporkan tindakan tegas pihak berkuasa di Koh Phangan terhadap hotel dan resort yang dikendalikan oleh warga Israel tanpa permit sah. Antara yang terlibat ialah Hotel Arcana kerana tidak mempunyai permit operasi manakala Fishman Villa dan Thoren Phangan merupakan hotel yang tidak berlesen. Art of Nature Resort & Spa  pula beroperasi dengan lesen tamat tempoh dan pekerja tidak sah. Banyak pengusaha asing menggunakan struktur nominee untuk mengelak undang-undang pemilikan tempatan. Penduduk serta pengusaha tempatan semakin tidak berpuas hati dengan kehadiran warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen, menggunakan pemandu pelancong tidak berdaftar, dan menutup peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan.

Tindakan ini menimbulkan ketegangan antara pengusaha asing dan penduduk tempatan yang merasakan mereka dipinggirkan di tanah air sendiri. Warga Israel memberi tumpuan kepada industri pelancongan — hotel, resort, dan khidmat pelancongan. Sebahagian kawasan di Koh Phangan kini digambarkan sebagai “second Tel Aviv.” Fenomena yang sama turut berlaku di Phuket apabila kehadiran warga Rusia amat ketara dan tidak terbendung. Lebih satu juta pelancong Rusia melawat Phuket pada separuh pertama tahun 2025 menjadikannya pasaran asing terbesar di pulau itu. Warga Rusia kini mendominasi perniagaan kafe, salon, dan aplikasi pengangkutan. Sebanyak 40–60% jualan kondominium di Phuket dibeli oleh mereka. Akibatnya, harga hartanah melambung tinggi. 

Selain Cyprus dan Thailand, Greece juga menyaksikan peningkatan mendadak kehadiran rakyat Israel. Agen hartanah tempatan melaporkan bahawa warga Israel kini antara pembeli utama hartanah kediaman di Athens dan Thessaloniki. Skala pelaburan tahunan oleh individu Israel dianggarkan melebihi €500 juta, dan dijangka mencecah €1 bilion menjelang 2026. Pada tahun 2023, pelaburan Israel menyumbang kepada  €1.32 bilion hasil daripada program Golden Visa Greece.  Hasil tinjauan mendapati Permit Golden Visa bagi pelabur Israel meningkat 96% dari tahun ke tahun yakni daripada 260 kepada 510 permit setakat pertengahan 2025. Ramai warga Israel memilih Greece sebagai rumah kedua atau tempat persaraan kerana kos sara hidup yang jauh lebih rendah berbanding bandar elit seperti Tel Aviv.

Data yang tersedia jelas menunjukkan bahawa kehadiran komuniti asing secara besar-besaran telah menekan struktur sosial tempatan, mengubah dinamik ekonomi, dan meningkatkan ketidakselesaan dalam kalangan penduduk asal. Fenomena ini bukan sekadar soal angka atau pelaburan semata-mata, tetapi menyentuh dimensi yang lebih mendalam — identiti, kedaulatan, dan hak masyarakat terhadap ruang hidup mereka sendiri. Kehadiran komuniti luar yang membawa modal besar sering kali mempercepatkan proses gentrifikasi, menyebabkan harga hartanah melonjak dan akses kepada pemilikan aset menjadi semakin sukar bagi warga tempatan. Apabila ekonomi tempatan mula dikuasai oleh warga asing, keseimbangan sosial tergugat dan jurang ekonomi melebar. 

Lebih membimbangkan, perubahan landskap sosial turut melahirkan tekanan psikologi serta keletihan emosi dalam kalangan penduduk setempat. Dalam konteks yang lebih luas, keadaan ini boleh mencetuskan reaksi sosial berantai — daripada rasa tidak puas hati, kepada polarisasi masyarakat, seterusnya mencabar keutuhan sosial dan kestabilan nasional. Cyprus, Thailand dan Greece merupakan contoh jelas bahawa migrasi serta pelaburan asing, walaupun membawa manfaat yang besar dalam ekonomi, peluang pekerjaan, dan limpahan pelancongan, juga memerlukan kawalan dasar yang teliti agar tidak menjejaskan integriti sosial, budaya, dan ekonomi masyarakat asal serta berada dalam kerangka keadilan sosial, keseimbangan ekonomi, dan pemeliharaan identiti nasional.


Male, Maldives
12 Oktober 2025