Jam 1 pagi. Selepas berbual di telefon, aku masuk bilik peribadi Ara — ruang kerja. Tentulah, seperti kebiasaannya, bilik tidak teratur — barang bersepah di sana sini. Bantal tidak bersusun, selimut tidak di lipat, katil tak di kemas. Di bawah katil, terdapat 3 botol air mineral dan beberapa air kotak kosong. Di celahan katil, aku jumpa plastik jajan dan coklat. Bersebelahan bantal, satu bundle kertas A4 yang belum di buka (jadikan bantal peluk agaknya). Fail, dokumen, buku, laporan, jurnal, monograf, stepler, pen berselerak di atas meja. Di atas lantai (nasiblah tak terpijak) ada laptop, Huawei Mate, phablet, dua peranti Samsung dan Nubia Z70S Ultra yang masih dalam kotak (agaknya dia belikan untuk aku sebab aku pernah tanya tentang brand Nubia). Okey sambung — 2 biji bola tenis (aku ajar dia buat refleksiologi tapak kaki guna bola tenis. Aku boleh bayangkan sambil menaip, mulut menguyah jajan, kaki gelek bola tenis, tangan capai botol air — She is multitasking at her very best!). Kalau tiba-tiba rasa nak masak kari ayam (kegemaran Umar), dia turun masak sekejab. Sementara tunggu didih, sambung buat kerja. Tu ha, plastik rempah atas meja. Berhampiran lampu meja ada dumbbell (janganlah tanya apa dumbbell buat dekat situ), novel Korea, perfume, facial masks (di bancuh dalam bekas. Dah kering pun). Bawah kerusi, selipar tinggal satu (mana sebelah lagi?). Bilik sudah bersih. Barang sudah tersusun. Cadar, selimut, sarung bantal sudah di tukar. Sudah mop, sudah lap, sudah vacuum. Esok, beli bunga letak atas meja. Sekian laporan dari bilik peribadi isteri. Bertemu lagi di episod akan datang.
Oktober 9, 2025