Friday, December 06, 2024

Isteriku

Kisah dari FB
_

Salah satu ketakutan aku ialah isteri meninggal dunia ketika bersalin. Ara minta tambah anak tapi aku tak nak. Aku bagi macam-macam alasan. Alasan aku yang paling kerap ialah umur aku sudah meningkat dan tak sesuai untuk menambah anak. Ada kisah di sebaliknya tapi aku tak mahu cerita. Ia kisah yang sedih. Berakhir dengan kesedihan. Mengingat saja sudah buat air mata aku mengalir deras - sedih yang teramat. 

Aku takut masuk dewan bersalin. Selain ada masalah PTSD, aku terlalu terkesan dengan hal yang aku tak mahu ceritakan itu. Selama Ara mengandung, hampir setiap hari aku buat solat hajat. Aku takut Allah ambil isteri aku. Aku takut kehilangan sebab aku sudah melalui banyak kehilangan dalam hidup. Kehilangan menyakitkan. Setiap kehilangan mengambil terlalu banyak masa untuk pulih. Kadang-kadang kita tak pernah sembuh. 

Isteri ada bermacam-macam perangai. Ara pun sama. Dalam rumah tangga perlu banyak toleransi dengan sifat masing-masing. Aku tak suka merakam video tapi Ara suka. Aku tak suka di rakam tapi Ara gemar merakam. Hampir segalanya dia rakam sekadar untuk simpanan peribadi. Dia tak muat naik di mana-mana platform media sosial. Setiap kali ingin merakam, dia meminta izin. Dia tak akan berbuat sesuatu tanpa keizinan aku.

Aku tak pernah video call Ara baik sebelum berkahwin atau selepas kami bernikah. Aku juga tak suka gunakan voice note. Ara kata aku seorang yang pelik. Ara pun tak pernah hantar voice, baik sebelum berkahwin mahupun selepas. Dia selalu membebel kalau ada client yang malas menaip tapi gemar menghantar voice. Ara tak pernah hantar voice pada client baik perempuan mahupun lelaki. Video call apatah lagi.

Kami ada persamaan di situ jadi aku mudah mendidik Ara. Dia mendengar kata, boleh menerima teguran dan nasihat sejak sebelum menjadi isteri lagi. Sewaktu dengan Ara, aku sudah meningkat usia jadi aku tak lagi berminat dengan perempuan yang penuh adventure. Cukuplah sekali. Aku mencari perempuan yang matang yang boleh aku jadikan teman akrab dan kekasih - tempat aku berkongsi cerita dan bersandar.

Aku jarang berkongsi masalah dengan Ara terutama hal berkaitan kerja. Dia tahu sikit-sikit saja. Aku tak suka bebankan dia dengan masalah aku. Masalah aku tentu masalah dia. Beban aku turut menjadi beban dia. Aku dan Ara bersekolah yang sama "aliran" jadi pemikiran kami hampir sama. Old girls vs old boys. Pengalaman kami di sekolah lebih kurang saja. Old boys kutuk old girls, old girls kutuk old boys - seronok.

Isteri adalah pendamping yang paling rapat. Dia kenal kita lebih dari orang lain. Dia tahu buruk baik kita. Dia tahu kelemahan dan kelebihan kita. Sifat isteri pasti ada pelbagai ragam dan perangai, tapi bila dia tak ada sunyi pula - rasa kosong. Ara tinggalkan aku sebulan sudah cukup buat aku rasa bagai nak gila - inikan pula bila isteri di ambil Sang Pencipta. Tak tergambar sedih di hati. Pilunya tentu sukar di sabarkan.

Isteri adalah pemberian paling indah dalam hidup seorang lelaki. Aku cuba menghargai semampunya, belajar bertolak-ansur dan selalu beralah untuk kebaikan. Beralah untuk isteri tak pernah rugi. Biarlah dia menang - suami tak rugi apa pun. Perempuan memang suka menang dan dia suka lelaki yang suka mengalah. Bila isteri bercerita, berilah tumpuan. Muliakan isterimu, nescaya dia akan muliakan kamu.


September 7, 2024