Sunday, August 25, 2024

Min

Min,

Aku rasa aku buat salah besar bila aku singgah sebentar di Hospital Kajang dari Bandar Sri Sendayan. Saja jalan-jalan di Sendayan - lihat vila kemudian singgah solat di Masjid Sri Sendayan. Malamnya ada ceramah Dr. Omar Suleiman tapi aku tak pergi - tempat terhad dan aku tak daftarkan diri. Cadangannya nak bermalam di sana tapi tak bawa kembar. Bila sudah sampai Sri Hartamas, malas pula nak keluar semula.

Aku parkir di tepi. Aku cakap dekat Ara "Abang nak tidur" sebab aku rasa letih sangat sampai aku malas nak fikir apa-apa. Lama aku tidur. Aku terjaga selepas sejam. Ara tak kejutkan aku. Dia kata dia tak sampai hati nak kejutkan sebab aku tidur lena. Masalah tidur tak pernah selesai. Di Krabi pun aku tak tidur langsung - sepanjang malam aku isikan waktu dengan aktiviti - berharap malam cepat berlalu.

Aku meracau sebab aku mengigau - tertidur dekat-dekat waktu Asar. Rasanya sudah lama aku tak meracau. Aku nampak air muka Ara berubah sedikit tapi dia cuba selindungkan. Berpura-pura tak ada apa yang berlaku. Agaknya aku terlalu memikirkan, jadi terbawa-bawa dalam tidur. Aku minta maaf, aku cakap tak akan berlaku lagi. Aku tak suka buat Ara kecil hati. Aku tahu dia tersinggung.

Ara mudah di jaga. Dia tak banyak kerenah. Dia tak cerewet. Dia makan semua jenis makanan tapi dia tak suka makan kedai tepi jalan kecuali kedai Siam. Dia suka makan di hotel. Kadang-kadang aku bawa dia ke kafe atau club house atau resort. Lebih kurang sama dengan aku tempat dia melepak. Ara tak pandai mengemas. Bilik selalu bersepah tapi dia hygiene - kotor dan busuk dia tak suka.

Kalau pergi makan, dia tak order jus. Dia risau pembancuh air tak pakai sarung tangan. Dia tak suka pergi public toilet. Memang jarang sangat (aku masih boleh kira dengan jari) dia ke tandas awam. Di rumah, aku tak berkongsi bilik air dengan dia.  Barang pun kami jarang berkongsi (sebab aku tak suka berkongsi, dia pula hygiene). Meja solek penuh dengan barang dia. Aku guna meja solek lain. Kami ada dua meja solek. 

Pernah sekali sebelum kahwin, aku tak ingat kami berbual tentang apa tapi aku cakap "Ye la, laki ada 3 jenis air - air mazi, mani dan wadi". Respons dia "Habis la tilam Ara. Kotor la nanti" - anxiety dia menjelma. Aku rasa nak gelak terbahak-bahak. Mujurlah di tempat awam. Dia ingat air lelaki 4 baldi agaknya. Aku tahu dia anxiety jadi setiap kali tukar cadar aku gunakan beberapa lapis. 

Ara tak ada best friend. Dia cuma ada kakak angkat. Itulah kawan gaduh dia. Ara jenis yang mudah let go orang sekeliling dia. Dia suka berterus-terang. Tak suka berteka-teki terutama dalam soal hati. Dia tak suka serabut. Kalau serabut, dia tinggalkan saja tak kisahlah betapa penting orang tersebut dalam kehidupan dia. Dia hampir let go kakak angkat dia sebab buat dia stres. Dia tak fikir panjang. Ambil jalan mudah.

Kata Ara "Sebab abang nasihat. Kalau tak, kita let go kakak angkat kita" padahal itulah orang paling dia rapat, paling dia sayang, paling baik dengan dia. She's easy to let go of people, no matter how important they are to her. Dia takkan fight untuk orang. Dia suka lelaki matang. Dia tak suka lelaki banyak cakap. Dia suka lelaki handsome yang jaga badan dan penampilan. Lelaki banyak makan pun dia tak suka.

Dia beritahu aku apa yang dia suka, apa yang dia tak suka. Dia boleh jadi perempuan paling matang bila di ajak berbicara. Di lain waktu, dia memanglah sangat manja. Kalau aku tak kahwin dengan dia - aku tak tahu pun dia manja. Kalau dia mengedik kenalah layan. Waktu aku baca buku atau dengar podcast - waktu itulah dia nak mengedik sangat. Kalau tak layan, nanti dia cakap "Kenapa abang tak layan kita?".

Satu perkara yang aku perlu sesuaikan - Ara tidur awal. Pukul 9 malam dia sudah mengantuk. Sebelum berkahwin, jarang dapat bergayut malam. Dia bangun jam 3 pagi baca Penyaksian Saksi-Saksi, bersedia untuk kes pagi nanti. Kemudian bersiap ke mahkamah. Tinggal di KL - perlu hadiri kes serata Malaysia. Kadang-kadang dapat call dari anak guam di tahan polis. Bergegas pula ke balai polis.

Keluarga dia tak pernah anggap aku orang luar. Selalu minta pendapat aku sebelum buat keputusan. Abang dia tak ada masalah dengan aku. Kembar dia pun okey. Dalam keluarga sebelah ayah dia, Ara seorang sahaja perempuan - sepupu dia semua lelaki. Adik-beradik ayah dia semua lelaki. Ayah dia manjakan dia sampai tak izinkan dia buat kerja rumah. Itulah sebab dia tak pandai buat kerja rumah.

Panjang betul aku tulis pasal Ara. Sebenarnya aku takut dia tinggalkan aku sebab bosan dengan aku yang masih dalam circle yang sama walaupun tak nampak tanda dia bosan. Aku tetap risau untuk jangka masa panjang. Bila dia dengan aku, dia sangat keanak-anakkan. Aku pun suka manjakan dia. Bila dia tak sampai ambil barang, dia minta aku dukung - bukannya tak ada tangga. Saja, nak manja. 

Min bila nak balik?


(Julai 14, 2024)