Tahun ini saya menetap di Jepun. Tahun lepas di India. Tidak banyak catatan yang saya tuliskan sejak beberapa tahun ini. Agaknya, saya berasa selesa menyimpan segala kata-kata hanya di dalam minda tanpa di tumpahkan menjadi bait di atas kertas. Sejak berkahwin dan berteman dengan Hara, saya mengambil kesempatan untuk mendaki gunung. Kami melalui beberapa episod pendakian; bermula dari pendakian yang mudah, sederhana sukar dan yang paling mencabar. Kita melalui danau, tebing tinggi, jalan berbukit, kabus tebal dan seribu liku laluan menuju destinasi.
Dalam setiap pengembaraan ada cerita yang tersendiri. Mungkin sahaja Hara cuba mengenali saya dengan lebih rapat atau barangkali dia cuba mengerti episod duka yang saya lalui. Semuanya telah saya lepaskan tetapi ia tidaklah berlangsung dengan begitu mudah. Saya mengalami kemurungan hingga hari ini. Kadang-kala segalanya nampak baik. Ada ketikanya, semuanya seakan kabur. Dan Hara memimpin saya untuk bangun kembali, melawan kemurungan yang saya hadapi. Dia begitu sabar melayan karenah saya. Begitu sabar sekali.
Memasuki usia 7 bulan pernikahan kami, Hara menganjurkan agar saya berkahwin lagi. Dia berharap dengan berpoligami saya dapat melupakan hal silam kerana saya akan “sibuk” menguruskan hal ehwal rumah tangga yang baru. Dalam diam-diam dia mencari calon isteri buat saya. Saya tahu niatnya murni namun saya tetap menolak. Saya mencintai Hara dan tak mahu berbagi kasih dengannya. Saya kira saya semakin pulih walaupun tidak banyak perubahan. Saya akan terus berusaha memperbaiki diri keluar dari dunia gelap ini. Semoga dengan izin-Nya saya menjadi insan yang lebih baik.
_
“Ni nombor dia. Bila abang free, abang call dia tau”
“Buat apa?”
“Kenal-kenal. Call tau”
“Tak naklah”
“La kenapa pulak”
“Nak buat apa abang call dia”
“Future wife abang kan”
“Tak. Abang tak nak”
_
Saat itu, saya memeluknya dengan erat. Air mata bergenang. Moga-moga Tuhan kuatkan hati saya. Saya tak mahu bernikah lagi. Saya tak mahu menduakan Hara sungguhpun pilihan itu adalah pilihan Hara sendiri. Saya sayangkan Hara dengan segenap jiwa saya. Saya harap Hara mengerti bahawa saya hanya perlukan dia untuk kehidupan ini. Benar, saya hanya perlukan isteri yang satu ini untuk meneruskan kehidupan, berkongsi kasih, berbagi duka. Dialah satu-satunya isteri, isteri yang begitu membahagiakan.