Kadang-kadang bila abang duduk seorang diri, abang teringat beberapa hal yang berlaku antara kita. Abang minta maaf jerkah dan tengking Hara tempoh hari. Dari riak wajah Hara ketika itu, abang tahu Hara ketakutan dan masih terkejut. Abang minta maaf. Abang akui abang panas baran dan cepat marah. Itu kelemahan abang sejak dulu lagi.
Mungkin benar apa yang Hara katakan bahawa abang tidak tahu duduk berbincang. Perbincangan kita tidak berakhir dengan baik kerana selalunya abang lekas marah lalu meninggikan suara pada Hara. Setiap kali mengingatinya abang terasa kesal sekali. Maafkan abang kerana gagal menjadi suami yang baik untuk Hara. Abang rasa malu setiap kali berdepan dengan Hara.
Terima kasih kerana melayan abang dengan baik. Menjaga makan minum abang sebaiknya dalam kepenatan seharian bekerja. Tidak ada lelaki sebaik Rasulullah dalam melayani isterinya. Sudah tentu abang tidak sebaik junjungan kita. Abang masih cuba mengawal kemarahan, perasan dan panas baran. Abang mahu menjadi lelaki yang lebih baik pada masa hadapan. Maafkan abang.
Dari Sayyidina Ali bin Abi Talib, Rasulullah SAW bersabda : "Lelaki yang paling baik ialah yang amat baik terhadap isterinya, dan aku adalah yang paling baik terhadap isteriku. Tidak ada seseorang yang memuliakan wanita, kecuali dia seorang yang mulia. Tidak ada yang menghina wanita, kecuali orang yang rendah pekertinya.”
(Hadith Riwayat Abu Daud)
Tokyo Camii, Shibuya, Tokyo
19.02.2020, 12.19pm