Hai Hara,
Maafkan abang kerana tidak menulis surat buat Hara. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, abang semakin hilang kata-kata walau sebenarnya banyak yang ingin abang catatkan buat kenangan dan ingatan kita berdua. Lambakan kerja yang tiada kesudahan serta masa yang pantas berlari antara faktor yang memandulkan kata-kata yang tak mampu abang ungkapkan di atas cebisan kertas. Benar kata Hara bahawa abang terlalu mengambil berat dan selalu memikirkan sedalam-dalamnya akan hal-hal kecil yang remeh-temeh. Itu adalah antara sikap yang sukar abang buang dari diri.
Abang tak dapat tidur lena hampir 3 minggu. Terlalu banyak gangguan yang abang hadapi. Abang sendiri tak pasti sama ada gangguan ini kerana ketidaktenteraman dalam jiwa abang atau sekadar halusinasi. Atas sebab itu abang ambil keputusan untuk pulang ke Johor Baharu - mengambil angin segar dan membebaskan diri dari kesibukan hiruk-pikuk fikiran yang bersimpang-siur di dalam minda. Tubuh badan yang keletihan menyebabkan otak tidak dapat berfungsi di tahap terbaik sedangkan abang punya 8 esei untuk di siapkan sebelum hujung bulan ini.
Semalam abang berbuka di rumah Mak Usu. Selesai solat terawih dan makan ubat, abang terlelap hingga waktu bersahur. Kata Mak Usu, abang tidur lena jadi dia tak sampai hati hendak kejutkan abang. Malam semalam abang tidur lena tanpa sebarang mimpi buruk menjelma. Oleh sebab terlalu tertekan dengan himpitan kerja, abang ambil keputusan untuk keluar dari Pulau Pinang buat sementara waktu. Balik kampung bertemu saudara-mara, berbuka bersama-sama, berkongsi cerita tentu saja dapat meringankan beban perasaan. Pagi ini, abang bertambah baik. Abang lebih tenang dan tenteram.
Waktu berbuka semalam Mak Usu masak 3 jenis kuih; tepung pelita, puteri mandi dan lompat tikam. Abang baru tahu kuih tepung pelita adalah kuih limas. Abang tak makan puteri mandi dan lompat tikam (bukan Hara tak tahu abang memilih makan). Hari ini Mak Usu masak laksa Johor. Kalau tak salah abang, abang pernah makan sekali sahaja laksa Johor ketika abang berumur 13/14 tahun. Kata Pak Usu, abang harus belajar makan makanan dan masakan Johor. Tambah Pak Usu, abang kena belajar cakap dalam loghat Johor. Abang kata, abang selesa menjadi orang Perak walaupun di besarkan di Kuala Lumpur.
Pak Usu tanya tentang persiapan perkahwinan kita. Abang kata “Semuanya berjalan dengan baik sebab Hara yang uruskan”. Mak Usu kata “Orang lelaki selalu tak ambil berat hal perkahwinan. Segala-galanya serahkan pada perempuan”. Abang cuma diam dan angguk bila dengar Mak Usu membebel. Lama tak ada orang tua membebel. Sejak Makcik Siti tak sihat, jarang dengar dia membebel pada abang. Mungkin kerana cepat letih, Makcik Siti kurang bercakap apatah lagi membebel seperti sebelum ini. Abang selalu risau kalau-kalau makcik pergi tinggalkan abang.
Abang balik Penang malam ini selepas solat terawih. Sejak memiliki kenderaan baru yang amat pantas walaupun tidak menjimatkan minyak dan kos kendalian yang agak tinggi, abang kira abang semakin selesa menggunakannya. Dari segi masa dan tenaga, ia amat menjimatkan. Abang boleh bergerak ke mana sahaja tanpa perlu memikirkan tempoh perjalanan. Dengan adanya kenderaan ini, Hara tak perlu lagi risau keselamatan abang kerana abang tak akan memandu laju atau mengarahkan Don memecut bila ada keperluan. Hara janganlah tanya; masa adalah emas - kerana itu kelajuan sangatlah penting.
Abang akan menulis tentang Tanjong Katong bila ada kelapangan nanti. Buat Hara, nah serapkap pantun peneman diri di kala rindu,
Di Tanjung Katong airnya biru
Di situ tempatnya mencuci mata
Duduk sekampung lagikan rindu
Inikan pula nun jauh di mata.
Lelaki yang tak pernah berhenti mencintaimu,
Imran
10.25 pagi, 3 Jun 2018
(Tanjong) Katong, Singapura