Ramadan tahun ini anak-anak merengek hendak berniaga di bazar. Kali pertama dan terakhir mereka berniaga di bulan Ramadan adalah sewaktu menetap di Ipoh dahulu. Saya mengatakan tidak kerana tak mahu mereka keletihan. Berniaga di bazar walaupun nampak mudah sebenarnya amat memenatkan. Mereka tetap memujuk dan akhirnya saya mengalah. Dalam kesibukan menguruskan beberapa tawaran baru, memantau projek pembangunan sedia ada serta membaik-pulih struktur syarikat yang baru di ambil alih, saya perlu korbankan masa dan tenaga untuk turut berada di bazar menjual makanan.
Saya berasa amat tertekan pada mulanya kerana begitu banyak kertas kerja yang perlukan penelitian serta laporan kemas kini yang perlu di pantau setiap masa. Ini belum termasuk menghabiskan bacaan jurnal dan buku-buku ilmiah untuk kursus atas talian yang saya ikuti. Tentu sahaja, buat masa ini hal bersangkut-paut berkaitan persediaan perkahwinan saya letakkan ke tepi dahulu. Mujurlah Hara banyak membantu memudahkan urusan. Mengikut jadual kerja, bulan ini seharusnya tidak banyak kerja yang perlu di buat. Rezeki yang datang tanpa di duga, bulan ini begitu banyak tawaran kerja yang masuk.
Tuntutan kerja selalu membuat saya leka dan alpa. Tiga hari pertama Ramadan saya hanya bersolat terawih tanpa membaca walau sebaris ayat al-Quran. Semalam, usai menunaikan solat maghrib, saya teruskan bacaan yang terhenti beberapa hari sebelum bermulanya puasa. Setiap kali tiba Ramadan, saya berhasrat untuk membaca sekurang-kurang dua halaman al-Quran Belum pun memasuki pertengahan Ramadan, saya sudahpun tergelincir dari landasan kerana terlalu memberi fokus pada lambakan kerja hingga terlupa - lambakan kerja itu datangnya atas rezeki yang di izinkan-Nya.
Saya tidak lagi tertekan dan marah-marah kerana terpaksa mengikut kehendak anak-anak berniaga di bazar. Berada di bazar, dalam lautan manusia membuatkan saya insaf dan merenung diri serta kesenangan yang saya miliki. Dua hari lepas, bazar menjadi kecoh apabila seorang pelanggan yang membeli nasi campur naik angin dengan mendakwa peniaga mengenakan harga yang mahal ke atasnya. Petang itu dia membeli sebungkus nasi bersama 2 ketul nugget, 2 ekor sotong, sepotong telur dadar dan sayur kangkung. Harga yang di kenakan adalah RM 10.
Anak-anak mula membuka jualan jam 4.15 petang hingga 6.30 petang. Mereka menjual cookies, agar-agar, pudding, dan kek. Tentu sahaja hasil jualan membuat mereka lebih bersemangat. Manakan tidak, pada Ramadan pertama mereka berjaya membawa pulang RM 300. Walaupun nilai ini sama dengan wang belanja sekolah selama 3 hari, namun ia memberi lebih erti kerana mereka berpenat lelah mencarinya. Ketika inilah saya melihat sikap toleransi, bekerjasama dan sepakat membawa berkat yang ada pada diri mereka walaupun tetap perselisihan/pergaduhan kecil masih ada.