Friday, March 23, 2018

Bersamamu, selalu

Hara yang di rindui,

Abang selamat tiba di Kuala Lumpur jam 3.30 petang tadi. Maafkan abang kerana terpaksa meninggalkan Hara buat sementara waktu. Sudah lama abang tinggalkan rumah. Kerinduan pada anak-anak pasti bertandang. Hari ini, setelah beberapa minggu berjauhan, abang makan malam bersama anak-anak sambil berborak seputar hal-hal dunia. Mereka berkongsi cerita tentang banyak perkara; cerita yang meriangkan hati mereka. Selesai makan, abang menonton filem bersama mereka. 

Abang berharap Hara tidak berkecil hati kerana abang terpaksa pulang buat beberapa ketika. Kasih sayang dan kebahagiaan harus berbagi, saling di kongsi agar tak ada yang terasa tak di pedulikan. Abang tahu Hara mengerti, tetap juga abang ingin berikan penjelasan supaya Hara tak tersalah erti. Abang akan balik secepat mungkin setelah beberapa urusan di sini selesai. Nampaknya rezeki tak berpihak pada abang. Setelah berfikir panjang, abang ambil keputusan untuk menjual hotel kepada pihak yang berminat.

Masalah yang abang hadapi sebenarnya kecil tetapi abang tak mampu mengatasinya kerana hal ini melibatkan dosa pahala. Kebiasaannya, hotel bertaraf 4 dan 5 bintang harus menyajikan alkohol untuk mendapat lesen pengoperasian. Jika kita enggan, lesen pengoperasian tidak akan diluluskan. Melalui alkohol, pihak berwajib menjana keuntungan yang besar. Hal ini bukan luar biasa kerana melalui cukai minuman keras, hasil kutipan yang di jana berlipat kali ganda dan ini akan memberi keuntungan pendapatan negara.

Abang balik ke Malaysia, selain untuk melepaskan kerinduan pada anak-anak, abang juga bakal menandatangani beberapa dokumen berkaitan perjualan hotel. Abang agak sedih sebenarnya tapi abang redha kerana mungkin ini bukan rezeki abang. Abang sebenarnya bercadang untuk membeli hotel 5 bintang pada masa akan datang. Bila tiba waktunya, abang akan lawan habis-habisan untuk mendapat lesen pengoperasian tanpa melibatkan penyajian minuman beralkohol. Buat masa ini, melepaskan adalah jalan terbaik. 

Seperti yang pernah abang beritahu Hara dahulu, abang akan berpindah ke Kanada. Proses perpindahan di jangka bulan Ogos nanti. Abang akan menetap di sana hingga awal tahun depan. Abang tak kisah hidup berpindah-randah. Menetap di satu-satu tempat dalam jangka waktu yang panjang kadang-kadang menjemukan. Abang sudah tidak tahan lagi dengan kemabukan Kuala Lumpur yang semakin sesak dengan kenderaan, pencemaran yang tidak terbendung, dan manusianya yang sudah lagi hilang kemanusiaan. 

Apabila Hara hidup bersama abang nanti, Hara perlulah belajar untuk hidup nomad di beberapa tempat berbeza. Abang suka sekali tinggal di dalam hutan. Jauh dari hiruk-pikuk hal-hal dunia yang tak pernah habis. Manusia hari ini hanya hidup untuk bekerja, membayar bil, dan mati tanpa menikmati cebisan kehidupan yang Tuhan tawarkan buat mereka. Abang mahu memaknai waktu dengan menulis momen-momen indah, membaca seberapa banyak buku dan menghabisan waktu bersama Hara.




Lelaki yang menaungi hatimu,
Imran