Tahun 2017 sudah berakhir. Tak siapa menduga tahun lepas Tuhan hadiahkan seorang perempuan yang baik pekerti, lemah lembut dan senang di dampingi buat saya. Bersama dia, dunia menjadi sangat indah. Pada pandangan saya, Hara adalah seorang perempuan yang cerdas fikiran, cerdik mengatur hidup dan teliti dalam membuat keputusan. Jalan hidupnya tidaklah begitu mudah namun berjaya di harungi dengan tabah. Tuhan selalu anugerahkan sifat tabah pada perempuan. Mereka adalah insan yang hebat dalam menempuh dugaan hidup. Jika lelaki mengatakan mereka lemah, itulah sebesar-besar kesilapan mereka.
Hara kini berada di Amerika Syarikat sebagai visiting scholar. Sepatutnya kami melangsungkan perkahwinan hujung Disember lepas namun terpaksa di tunda bila Hara di jemput ke sana walaupun sebenarnya dia berat hati untuk pergi. Berada dalam fasa percintaan sangat mengasyikkan dan kita sebolehnya tak mahu berpisah dengan orang yang kita cintai. Keluarga Hara memilih untuk mengikat tali pertunangan sebagai jalan awal mengeratkan hubungan. Tahun lepas juga, tanpa sebarang petanda, saya bertunang dengan Hara dalam jangka waktu perkenalan yang sangat singkat.
Bertemu di kedai buku, bertentang mata dalam sebuah majlis di Shah Alam merungkai segala-galanya. Aturan Tuhan sungguh cantik sekali. Semuanya berlangsung dengan mudah, teratur dan penuh adab. Mengenali Hara membuatkan saya rasa kembali bernyawa. Hidup yang dahulunya pudar kembali bercahaya. Hara adalah sinar kebahagiaan. Hara dengan sosok tubuhnya yang ramping, wajah mulus tanpa solekan berat, barisan gigi yang tersusun rapi dan mata yang menawan kelihatan sungguh anggun ketika itu. Itulah pertemuan yang membuahkan cinta, dari mata turun ke hati.
Kata Khalil Gibran, “Cinta bertunas pada saat pertama dan geloranya tidak pernah akan hilang sampai bila-bila”. Mata mudah membuat kita luruh jiwa. Kata seorang pujangga “Bukankah mata adalah laluan jernih untuk masuk ke lorong jiwa yang menyimpan segala yang ada. Bukankah juga mata tidak mampu berkata dusta? Segala yang berkumpul di dada, maka matalah menjadi cermin yang paling jujur untuk memantulkannya semua. Hampir segalanya”. Kata Hara, saya miliki sepasang mata yang jernih. Agaknya, kerana itulah kami selalu berlawan mata. Dan saya teringatkan bait puisi Karl Agan yang amat puitis.
Keabadian kita wujud dalam hal-hal yang sederhana
seperti ketika aku menulis namaku
di telapak tanganmu,
dan kau tertawa kegelian
menahan untuk tak menyimpan tangan,
atau seperti ketika kita main-main merenung mata
berlawan untuk tak terkelip,
kerana ada sesuatu yang boleh hilang
dalam sekelip mata.
Dalam setiap solat, belum pernah saya lupa titipkan doa dari Surah Al-Rad ayat 39, “Allah menghapuskan apa jua yang di kehendaki-Nya dan menetapkan apa jua yang di kehendaki-Nya. Dan pada sisi-Nya ada Ummul Kitab iaitu Lauhul Mahfuzh”. Doa ini adalah doa untuk melupakan seseorang. Saya mahu bebas dari penjara masa silam. Pesan Sheikh Abdul Qadir al-Jailani dalam Futuhul Ghaib syarahan ke 53, “Pintalah kepada Allah supaya kita redha dengan takdir-Nya”. Setiap orang berat untuk melepaskan masa silam namun kenangan tak menjanjikan apa-apa kecuali derita dan air mata.
Kata bijak pandai, “Sometimes we have to let go of what's killing us, even if it's killing us to let go”. Pesan Sheikh Qadir al-Jailani lagi, “Janganlah kamu hanya berharap kepada apa yang diperuntukkan untukmu atau yang bukan diperuntukkan untukmu. Jika kamu berusaha untuk mendapatkan apa yang bukan untukmu, maka itu adalah tanda kebodohan, kejahilan kerana di antara yang paling berat ialah berusaha mendapatkan apa yang bukan di takdirkan untukmu”. Mungkin sahaja kerinduan masih menyala dalam dada. Kerana itulah saya mahu memadamnya dari jiwa. Ia tak lagi punya makna buat saya.