Oscar Wilde dalam Lord Arthur Savile's Crime and Other Stories menyebut “Women are meant to be loved, not to be understood”. Belum ada lagi penciptaan yang wujud di atas muka bumi ini yang serumit penciptaan seorang perempuan. Kaum Adam mengatakan perempuan sangat kompleks dan tak mungkin dapat di fahami hingga akhir hayat mereka. Minggu lepas, jadual kerja amat padat kerana perlu bekerja luar dari KL ke London ke Copenhagen dan seterusnya Amsterdam. Saya langsung tak hubungi Hara. Hanya berbual sepatah kata melalui SMS “Hai. Dah makan? Okey, abang ada kerja. Nanti abang SMS lagi”. Dan dia…merajuk untuk pertama kali sepanjang perkenalan kami.
Salah saya kerana beranggapan bahawa Hara tidak seperti perempuan lain - Hara tidak akan merajuk dan telahan saya ternyata meleset. Hara adalah seorang perempuan dan lumrah kaum mereka seperti tidak dapat di tolak pasti akan merajuk jika ada yang tidak kena di hati mereka. Panjang sungguh rajuknya, sudah beberapa hari. Rupa-rupanya masih wujud kaum Hawa yang ‘membawa diri’ bila buah hatinya tidak membuat panggilan telefon bila berjauhan. Hara salah seorang darinya. Ingin di biarkan hatinya sejuk sendiri, terasa kasihan. Bila cuba di pujuk, makin menjadi pula rajuknya. Sudahnya, biarkan saja waktu berputar. Bila tiba waktunya, dia akan kembali seperti biasa. Tak mungkin Hara merajuk bertahun lamanya.
Manusia yang berkerja sendiri selalu cuba mengatur masa sebaik mungkin. Pertambahan kerja selalu mencuri perhatian lebih daripada biasa. Sejak membeli sebuah hotel empat bintang di Pulau Pinang, mengambil alih pengurusan restauran di KL dan membeli office and industrial building di Kedah juga menguruskan beberapa projek baru yang sedang dalam proses di Arab Saudi, UAE dan Qatar serta tugas hakiki sebagai badan pengurusan, masa yang ada harus di bagi-bagi sebaik mungkin. Selain bekerja, mengulang kaji, menyiapkan tesis dan menghabiskan masa bersama anak-anak, hal-hal yang melibatkan kerjalah yang selalunya mencuri banyak masa dan menyebabkan bertangguh untuk menghubungi Hara.
Hara bertambah rajuk bila saya beritahu saya belum sempat menyemak dan menilai senarai hal-hal yang berkaitan dengan majlis perkahwinan kami. Dalam rajuknya, Hara mengatakan saya tidak mengambil berat tentang majlis yang akan berlangsung. Dia mengatakan saya melihat majlis perkahwinan sebagai kedua terpenting selepas hal ehwal kerja. Saya hanya tersenyum bila membaca rungutan panjangnya betapa saya tidak ambil tahu tentang majlis pernikahan kami. Sejujurnya, saya masih belum sempat berfikir apa pun untuk majlis kelak kerana buat masa ini seluruh tumpuan saya terpusat pada hal ehwal kerja. Menguruskan beberapa perniagaan sudah cukup melelahkan.
Amsterdam, Netherlands
12. 47 petang, 1 Oktober 2017