Saya kehilangan kedua orang tua ketika saya masih muda. Perkara paling menyedihkan ialah saya tidak luangkan banyak masa bersama mereka. Arwah Ummi seorang doktor. Hampir sebahagian masanya di habiskan di wad. Ketika berusia 13 tahun, saya sudah pun memasuki asrama. Bertambah singkatlah masa yang saya habiskan bersamanya. Saya selalu mencari waktu senggang bersama Ummi ketika dia sedang sibuk mengupas bawang atau ketika dia sedang sibuk mengayak tepung untuk membuat kek. Kami jarang berbual hal-hal besar, biasanya cuma hal-hal kecil yang menyenangkan.
Memasuki usia remaja, saya cuba fahamkan diri dengan kesibukkan Ummi di wad hingga jarang datang melawat saya di asrama. Kadang-kadang saya rajuk tapi rajuk saya jarang berpanjangan. “Ummi ingat. Bukan Ummi tak lupa” begitulah selalunya. Dan saya selalu kata “Asyik-asyik lebihkan orang lain”. Ummi hanya tersenyum kecil, memaut bahu saya dengan erat. Begitulah selalunya. Sebagai “tanda maaf”, setiap kali balik bercuti, Ummi akan masak lauk kegemaran saya, gulai tempoyak. Saya makan dengan lahapnya dan segala rajuk-pergeseran hilang bersama manisnya gulai tempoyak.
Sekali-sekala bila kelapangan Ummi akan mengajak saya dan adik-beradik yang lain berbaring di atas rumput dan mengira bintang. Kami memandang langit, mengira bintang, melihat bulan, mengenal buruj dan seribu satu perkara takjub yang berada di langit. “Betul ke Ummi bila mati nanti kita duduk dekat atas sana macam bintang lepas tu pandang orang kita sayang dari sana?”. Begitulah hal-hal kecil yang kami bualkan. Ia adalah antara nostalgia yang masih lekat di hati. Memori yang begitu indah di zaman remaja. Di sebalik mengira bintang, biasanya Ummi berpesan-pesan terutamanya melibatkan hal-hal lelaki perempuan.
“Im tak nak kahwin dengan doktor. Nanti dia asyik dekat wad.” Entah untuk ke berapa ratus kali saya sebutan hal ini di hadapan Ummi. “Kalau Im kahwin dengan orang kerja waktu pejabat, Im tahu bila dia balik. Tapi kalau Im kahwin dengan orang kerja syif, Im mesti excited tunggu dia balik, tahu jadual kerja dia, bila dia off. Yang tak nak itulah yang Im akan dapat nanti”. Kenyataan yang Ummi simpulkan amat ringkas tapi sangat membekas di minda saya. Setahun selepas itu, saya jatuh cinta pada seorang budak kecil berusia 13 tahun. Dia sangat comel, gempal orangnya, manis senyuman. Dan saya jatuh cinta pandang pertama.
Ketika saya balik ke Malaysia, dia di Tahun 1 MBBS. Ketika itu saya tahu saya sudah jatuh cinta dengan “sesuatu yang tidak saya senangi”. Masin mulut Ummi. Saya jatuh cinta dengan bakal doktor. Hari-hari yang saya lalui agak sukar dan mencabar kerana jadualnya yang rigid. Saya yang biasa bekerja di mana sahaja, jarang masuk pejabat merasa amat tertekan pada mulanya. Kami selalu bergaduh tentang hal-hal remeh, mungkin kerana ketidakmatangan saya mengurus masalah yang datang. Tidak lama selepas itu saya di sahkan mengidap kanser otak dan saya tahu hidup saya akan tamat pada bila-bila masa sahaja.
Ketika saya sakit, dia masih ada dengan saya. Dia seorang fighter, mempunyai jiwa dan hati yang kental. Jiwanya besar, mahu berbakti pada masyarakat. Sifat yang amat berbeza daripada saya. Dia tak mudah mengalah, masih percaya saya mampu melawan kanser dan sembuh. Tahun-tahun itu, tahun-tahun saya menderita akibat kanser adalah tahun yang paling manis dalam hidup saya. Saya kira, kami menjadi semakin akrab seperti sahabat sejati. Saya suka sekali mendengar cerita-ceritanya ketika di wad. Mendengar cerita-cerita tentang hospital, wad, pesakit, nurse dan rawatan menjadi sebahagian dari rutin hidup saya.
Perkara yang membuat saya teruja tentulah menunggu dia balik ke rumah dan berbual-bual kosong dengan saya, berborak hal-hal kecil yang menyenangkan. Saya kira diri saya sebahagiannya adalah dirinya. Saya belajar banyak perkara ketika bersamanya dan saya akui saya punyai banyak kelemahan diri yang perlu diperbaiki. Sifat terlalu berahsia yang ada pada diri saya barangkali tidak menyenangkan hatinya. Saya jarang berkongsi cerita dengannya, tidak banyak. Terlalu banyak sisi saya yang dengan sengaja saya sorokkan darinya. Bersama wanita ini, saya kira adalah pengalaman yang amat berharga.
Dia ada di saat saya menderita, tertekan, putus harap. Dia masih setia dengan saya. Di saat-saat getir dan melalui berpuluh pembedahan, dia masih setia menemani saya malah tidak pernah berputus asa. Dia, wanita yang sangat mulia cuma takdir tidak menulis selamanya dia untuk saya. Mungkin sahaja dia berbuat salah pada saya kerana mengkhianati cinta saya padanya tapi satu kekhilafan tidak akan memadam seribu kebaikan. Jodoh, seperti kata arwah Ummi dan segala kekuasaan tidak terletak di tangan manusia. Tuhan meminjamkan dia hanya sebentar untuk mengajar saya agar tidak mudah menyerah dalam hidup.
Saya menderita PTSD terlalu lama dan pernah membuat cubaan bunuh diri sebanyak dua tiga kali. Saya berjanji dengan dia, saya tak akan bunuh diri tak kira apa yang terjadi dalam hidup saya. Saya masih pegang erat janji yang saya buat. Dua hari dari sekarang, saya akan keluar dari hospital psikiatri ini. Saya kira laporan perubatan yang menyebut saya mengalami kecelaruan kerana di curangi adalah tidak betul sama sekali. Derita yang saya pikul ini bukan kerana cinta saya di khianati tapi kerana rindu yang mendalam. Rindulah yang membuat saya berada di sini. Mencintai wanita sehebat dia amat luar biasa sekali rindunya.
Saya barangkali merindui hal-hal kecil yang kami bualkan bersama, perbualan kecil yang menyenangkan, perbualan yang mengeratkan. Perbualan kecil yang seringkali membawa kepada hal-hal yang besar; tentang pendermaan organ misalnya atau hal-hal sekitar prosiding kes sodomi Anwar Ibrahim atau kadang-kadang kami cuma berbual hal-hal kecil yang kami suka misalnya dia suka orkid, saya suka bunga ros, dia suka minum air kosong, saya suka kopi, dia suka cakoi, saya suka badak berendam. Begitulah hal-hal yang kami bualkan bersama hingga kadang-kadang terlelap di katil.
The best relationships in our lives are the best not because they have been the happiest ones, they are that way because they have stayed strong through the most tormenting of storms.
― Pandora Poikilos