Malam tadi sewaktu semua orang sedang sibuk mengemas rumah, abang teringatkan awak. Dulu, kalau malam raya, awak yang paling sibuk; kemas rumah, mop lantai, cuci pinggan, dan sediakan persiapan hidangan untuk esok. Awak penat dan kadang-kadang kita gaduh tentang hal-hal kecil kerana abang tak matang. Setiap kali tiba hari raya, abang selalu terkenangkan awak. Awak yang paling manis, pandai memasak, rajin mengemas. Awak tak suka lantai berminyak, melekit, tong sampah penuh. Kemudian, bila tiba waktu senggang, kita selalu bergosip tentang kak ipar awak yang pemalas.
Waktu abang sedang melihat langit, Umar datang dan tanya soalan lazim setiap kali tiba hari raya “Kesian mama kalau mama kerja esok. Esok raya”. Abang kata “Nak buat macam mana mama kan doktor. Pesakit mestilah perlukan doktor”. Dia angguk tanda faham. Kemudian, selang jeda yang panjang Umar kata “Mama raya dengan siapa tahun ni daddy? Kita rayalah dengan mama. Adik rindu mama”. Lama abang fikir jawapan yang sesuai, “Mama raya dengan Tok dengan Neneklah. Tahun ni mama kawin. Tahun depan mama dah ada geng nak raya”. Abang lihat mata dia berkaca.
Dia diam. Abang pujuk dia “Tahun depan Umar raya dengan mama baru”. Dia pandang muka abang “Adik tak nak mama baru. Adik nak mama. Mama baru tak sama dengan mama. Kalau mama baru tak sayang adik macam mama sayang adik macam mana daddy?”. Abang sendiri tak ada jawapan untuk tenangkan hati dia tapi abang tetap cuba “Daddy pun nak mama tapi tak boleh. Mama dah ada uncle baru. Jadi daddy kena lepaskan mama. Hidup tak berjalan macam yang kita rancang. Umar pun kena terima mama tetap ada dalam hati kita, bukan dalam hidup kita”.
Dan dia menangis, teresak-esak. Mata abang berkaca, cuma menahan sebak sekuat mungkin. “Adik rindu mama. Adik sedih adik tak ada mama. Kawan adik semua ada mama. Kita pujuklah mama, daddy”. Nampaknya dia masih tak putus asa, cuma tak di ungkapkan. Hanya di simpan dalam hati. Sedang berbual, Huda datang “Daddy, kena adik menangis?”. Abang hanya senyum “Tak ada apa. Umar sedih sebab lepas raya ni mama nak kawin”. Mula-mula mata Huda berkaca, perlahan-lahan air matanya membasahi pipi. Dia turut menangis, kesedihan yang sukar di bendung.
Ini adalah malam raya yang paling beremosi. Umar tanya “Mama pakai baju raya warna apa, daddy?”. Abang kata abang tak tahu sebab kita sudah lama tak berhubung. Tahun lepas abang dan anak-anak beraya dengan tema biru, sky blue. Tahun ini warna hijau mint. Abang beritahu anak-anak tahun ini adalah tahun akhir awak beraya tanpa orang istimewa. Tahun depan sudah berdua, mungkin bertiga. Wajah mereka mendung. Abang tahu mereka sedih. Abang juga sedih tapi hidup adalah satu realiti yang tak dapat di tepis. Hidup adalah kenyataan untuk kita laluinya dengan tabah dan berani.
Begitulah malam raya kami anak-beranak, penuh emosi, cuba memahami dan menjadi matang. Anak-anak selalu tanya tentang awak. Awak juga tentu rindukan mereka tapi apakan daya, takdir tidak menulis kita menjadi sebuah keluarga selama-lamanya. Hari raya adalah hari penuh kegembiraan. Keluarga kita tak lengkap tanpa awak di sini. Abang harap lebaran kali ini lebih baik dari sebelumnya. Moga lebaran kali ini merupakan lebaran kali terakhir kita bersedih. Awak akan mulakan hidup baru, abang pun begitu. Kita akan melangkah ke destinasi yang sama cuma dengan jalan berbeza.
Selamat hari raya, sayang. Moga yang indah-indah saja buat awak.
_
At this moment in time, you have a new favorite song. I have a new favorite color. You have a new love in your heart. I have a new hopeful hand to hold. We have so many new things to learn, to catch up with, but we never once forget the fire we both had when we still had each other.
― Lukas W
24062017, 9.22 malam
Kota Singa
24062017, 9.22 malam
Kota Singa