Selesai sahaja membaca emel yang masuk ke kotak pesanan, membalas emel yang di rasakan perlu, memadam spam dan yang tidak berkaitan, saya mengemas kini senarai contact. Antara senarai contact yang saya padam ialah the love of my life. Saya rasa saya sudah bersedia untuk melepaskan satu persatu tentang dia. Emel telah lama saya padam. Yang tinggal cuma dua patah perkataan dari chat log tahun 2013. Saya telah padam semuanya. Emosi saya sejak keluar dari hospital psikiatri semakin baik, kurang tertekan dan beransur positif. Cuma kadang-kadang saya perlu menepis kenangan yang datang secara tiba-tiba dan mencuri ketenangan hati saya. Betul kata orang “Some memories never fade”.
Apa lagi yang tinggal? Hanya serpihan memori. Percikan kenangan di sana sini yang saya tahu lama-kelamaan akan hilang di ganti memori baru. Bermula dari memadam lagu-lagu kenangan, yang satu dua masih tertinggal di dalam playlist, membawa kepada hal-hal kecil, saya mahu mengucapkan selamat tinggal kepada manusia yang pernah tinggal begitu lama dalam hati saya. Saya tidak membuangnya, jauh sekali membencinya. Saya harus terima yang dongeng cinta kami sudah tamat dan kini masanya untuk saya menulis cerita cinta saya yang baru. Saya mahu menulis setiap momen dengan lebih sempurna, saya mahu mencatat segala-galanya, saya mahu mengingati segala-galanya; bersama penghuni baru hati saya.
Dia sudah memilih jalannya, saya juga sudah memilih jalan saya. Saya rasa kami tak akan saling melupakan antara satu sama lain. Ingatan-ingatan kecil pasti membawa dia kembali ke kotak memori saya, begitulah sifat memori, membawa kita kembali ke titik asal pertemuan. Titik asal pertemuan akan membawa kita menjelajah seluruh pelusuk kenangan dari hal sebesar zarah hinggalah perbalahan-perbalahan yang besar. Kami terlalu banyak berbalah, agaknya kerana ketidakpuasan hatinya, bersangka-sangka, meneka-neka tentang saya. Tak ada yang memuaskan hatinya. Ketidakpuasan hati dan sering bersangka-sangka membawa kepada tahap kesabaran paling akhir dan meletuslah sebuah perpisahan.
Setiap antara kita mempunyai limit. Tahap kesabaran saya berakhir bila saya kata “Pergi mampuslah dengan cinta kita”. Saya mungkin sangat tertekan dan terlalu mendesak ketika itu. Dia juga sangat tertekan dan tak tahu memilih jalan. Dia berada di tengah-tengah titik persimpangan. Tahap kesabaran dia berakhir bila dia kata pada saya “You’re a coward, you have no balls”. Demi Tuhan, dia tak tahu apa yang saya lakukan selama ini untuk melindungi dirinya dari segala bahaya yang datang. Dia malah tak tahu apa-apa kerana saya menyembunyi segala-galanya dari dia. Saya tak mahu dia tahu apa-apa. Saya tak mungkin beritahu dia apa-apa. Oleh sebab itu saya selalu bersikap pentingkan diri dan dia sering terluka.
You’re a part of it. I have no choice. Saya memang tak ada pilihan. Saya malah tidak di beri pilihan. Bertahun lamanya saya memikul hal berat ini. Saat awak memilih orang lain, saya tahu saya tak perlu lagi memikulnya. Tanggungjawab saya sudah selesai. Yang membuatkan saya sedih ialah cinta, cinta saya pada awak, cinta awak pada saya, cinta kita - berderai. Cintalah satu-satunya perkara yang tak ingin saya korbankan tapi itulah yang di tuntut. Saya harus berkorban demi kasih saya pada awak tapi bagi awak, saya tak berkorban apa-apa. Saya malah tak buat apa-apa untuk bahagiakan awak. Kata awak, saya tak gentleman. Saya tak ada apa-apa. Awak mahu hidup normal seperti orang lain, nah, sekarang hidup awak seperti orang lain.
Saya akan terus mencintai awak. Mencintai awak tak ada noktah. Awak mengajar saya supaya menjadi lebih terbuka dalam sebuah ikatan, berkomunikasi secara jujur dan tidak berselindung. Saya tahu kita jarang berkomunikasi. Saya selalu mengelak dari berbincang. Komunikasi antara kita tidak berjalan dengan baik. Saya juga tahu sebuah ikatan yang kukuh memerlukan hubungan interaksi dan komunikasi yang tulus dan terbuka. Saya juga maklum awak selalu memendam rasa untuk tidak melukakan hati saya. Banyak yang awak diamkan. Banyak yang awak pendamkan dalam hati kerana menjaga perasaan saya. Saya tahu awak cuba menjaga hati saya sebaik mungkin. Betul kata orang, “Relationships cannot grow without the proper amount of communication”.
“I want that smile” kata awak suatu ketika dulu dan saya diam tanpa memberi sebarang jawapan. Hari ini saya ada jawapannya, “You will get it soon”. Cuma saya tak pasti samakah senyuman itu jika orangnya sudah berlainan. Saya harap mimpi saya cuma mimpi dan tak membawa sebarang makna. Saya mahu awak hidup bahagia, di penuhi gelak dan tawa. Saya mahu awak bina semula setiap impian yang kita pernah bina bersama. Saya mahu awak hidup lebih sempurna. Awak adalah segala-gala buat saya. Jangan pernah lupa. Baik saya ada bersama awak atau sebaliknya, awak adalah saya, dan saya adalah awak. Kita tak mungkin di pisahkan. Yang terpisah hanya jasad sedang hati, jiwa dan nurani kita masih enggan melepaskan antara satu sama lain.
Kau dan aku adalah dongeng
yang jatuh dari rak buku,
kertas-kertas yang tak terkutip dan dibiar berselerak
sehingga angin tiba dan memisahkan kita
semakin jauh dan menjarak.
Kenangan kita adalah tulang buku
yang masih tabah mencengkam halaman terakhir
sementara penjaga perpustakaan
menggantikannya dengan buku baru,
buku yang akan menguburkan kisah lama
lalu melemparkan kita ke api kelupaan.
Kau dan aku adalah mukasurat dari dongeng waktu lalu,
dongeng yang di hapuskan untuk kekasih baru,
dongeng yang menyimpan hanya bingkai buku.
― Karl Agan