Abang cuma ingin tahu kalau awak masih ingat kata-kata terakhir dari abang sebelum awak melangkah keluar rumah pagi itu (pagi terakhir awak menjadi milik abang) sebelum awak jatuh cinta pada orang lain. Abang tak ingat apa-apa berkaitan hal itu. Sedih sekali rasanya bila abang tak mampu mengingat hal yang sedemikian besar.
Abang harap pagi itu kata-kata yang terluah adalah kata-kata manis berbalut kasih sayang. Abang hampir pasti bukan “I love you”. Abang lelaki yang tak pandai ucapkan perkataan yang mudah itu selalu. Abang selalu rasa segan, jadi perkataan itu jarang abang ucapkan. Perkataan yang sebenarnya mudah sahaja di lafaz oleh sesetengah orang.
Abang berada di Paris membuat ujian MRI. Abang kerap sakit kepala, mata menjadi kabur, ingatan beransur susut dan emosi tidak terkawal. Keputusan sudah keluar tiga hari lepas. Doktor sudah sahkan punca abang selalu mengalami sakit kepala yang melampau. Doktor kata ia agak serius dan mungkin menjadi lebih serius di masa akan datang. Abang tak berapa ambil peduli dengan hasil ujian itu.
…
Tahun ini tahun kedua kita berpisah. Masih baru sebenarnya walaupun abang rasa seolah-olah kita telah terlalu lama berjauhan. Berpisah dari orang yang kita sayang tak selalu mudah. Hidup tanpa orang yang kita cinta terlalu pedih perjalanannya. Perpisahan yang berlaku mungkin sahaja meragut keseluruhan hidup kita. Hidup kita berubah sepenuhnya.
Kadang-kadang abang rasa abang tak mahu hidup lagi. Kalau tak kerana janji yang abang buat pada awak suatu ketika dulu sudah tentu hari ini abang tak lagi bernyawa - abang janji abang tak akan bunuh diri. Mujurlah ada anak-anak. Kalau tidak tentu hidup abang sangat kosong. Hanya di penuhi kesedihan yang tak berpenghujung.
Kesedihan ini abang kira belum nampak pengakhirannya. Abang masih bergelut dengan kemurungan. Abang sendiri tak tahu apa yang harus abang buat untuk hentikan semua kesedihan ini. Kembara masih gagal membuat abang lupakan segala kesedihan yang berlaku. Ke mana sahaja abang pergi awak masih yang pertama abang ingati
…
Sejujurnya abang mahu masa bergerak pantas supaya abang lekas tua dan mati dengan cepat. Kalau umur abang hingga 50 tahun sahaja, tinggal beberapa belas tahun sahaja lagi untuk abang habiskan sisa hidup sebelum menutup mata buat selama-lamanya. Abang benar-benar mahu menutup mata dengan cepat supaya segala kesedihan ini hilang.
Dugaan ini abang kira sangat berat. Tak terpikul di bahu. Abang tak cukup kuat untuk melawan perasaan. Ia sangat berat hingga sering menyesakkan dada. Semakin hari semakin sukar. Semakin hari semakin berat. Semakin hari abang semakin lemah untuk melawan. Abang semakin tak berdaya. Abang semakin menyerah kalah.
Abang penat dengan hidup ini. Abang tak punya tenaga untuk teruskan perjalanan yang masih lagi panjang. Abang rasa nak berhenti. Abang rasa cukuplah sampai sini. Abang betul-betul tak mahu hidup tapi Tuhan masih panjangkan nyawa abang. Sayang, abang penat merindu setiap hari. Abang penat berfikir tentang awak setiap masa. Abang terlalu penat untuk terus melangkah.
Abang nak tumpang sandar pada bahu awak. Cukuplah sekadar melepas lelah sebelum memulakan perjalanan esok hari. Agak lama abang tak tidur dengan lena. Agak lama abang tak tidur dengan nyaman. Hidup orang lain taklah seteruk hidup abang. Entahlah. Abang cuma fikir kalau abang mati cepat, abang dapat berehat dengan tenang.
Di antara renyai hujan
dan kabus di celahan bukit,
ada cinta yang merangsang derita
ada derita yang memburu bahagia
Dan sawah-sawah subur
adalah sebuah tanda
cinta takkan pernah terkubur.
- Arafat Hambali
Annecy, France