Saya ke Masjid Al-Aqsa pagi tadi. Masjid suci ketiga selepas Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. Beberapa anggota keselamatan mengawal ketat masjid ini. Saya minta izin untuk masuk melawat. Sebagai bukti saya datang secara sah, saya tunjukan dokumen perjalanan. Saya di benarkan masuk setelah hampir sejam di soal siasat.
Selesai menunaikan solat sunat, saya duduk bersandar pada dinding dengan niat ingin membaca beberapa baris puisi Alexander Pushkin. Saya tertidur lalu bermimpi berjumpa Ummi. Saya benar-benar rindukan Ummi. Ummi sedang duduk di kerusi kegemarannya sambil melukis khat. Ummi akan mengisi masa lapangnya dengan melukis kaligrafi/khat/kufi jika tidak bertugas di hospital.
Seperti selalunya, saya baring di ribaan Ummi. Dengan tidak semena-mena air mata mengalir deras tanpa di tahan-tahan. Sungguh-sungguh saya menangis. Saya jarang bercerita pada Ummi. Saya jarang meluah isi hati pada Ummi. Saya hampir tak pernah berkongsi rahsia hati pada Ummi. Usapan lembut tangan Ummi di kepala saya benar-benar menenangkan. Perlahan-lahan air mata saya berhenti mengalir.
“Im tak percaya pada takdir Tuhan?” Lembut pertanyaan Ummi membuatkan saya diam. “Percaya”. Ringkas jawapan saya. Saya bungkam kata-kata. “Percayalah takdir yang Allah tuliskan lebih indah dari yang kita mahukan. Allah tahu segalanya”. Saya diam lagi. Saya cuba menghadam setiap butiran perkataan yang keluar dari mulut Ummi. “Percayalah takdir Allah tak pernah kejam pada kita. Perancangan Allah seribu kali lebih baik dari kita”. Lembut tutur Ummi. Air mata saya kembali mengalir.
“Im tak nak orang lain, Ummi. It’s hard to let her go. It’s hard to move on”. Ummi senyum. Senyuman yang selalu menenangkan hati seorang anak. “Allah pasti gantikan yang lebih baik dari yang Dia ambil”. Pendek saja jawapan Ummi. Saya mengeluh berat. “Tapi Im tak nak orang lain. Orang lain tak sama”. Saya menghembus nafas penuh keluh kesah.
“Im rasa perancangan Im, pilihan Im lebih tepat berbanding pilihan Allah?”. Saya terpaku. Ummi selalu menoktahkan setiap jawapan yang saya beri. Ummi selalu bijak mengatur ayat. Ayat yang membuat saya terdiam malu. “Tak lah sampai macam tu. Cuma Im rasa dia yang paling sesuai untuk Im. She’s perfect for me”. Jawab saya jujur. Sejujur-jujurnya.
“Im rasa dia sempurna untuk Im. Pernah tak Im fikir Im sempurna tak untuk dia?”. Saya terdiam lagi. Saya mati kata-kata. Ummi mudah benar mematikan kata-kata saya. “Seorang lelaki budiman akan terima setiap qada dan qadar yang Allah tetapkan untuk dia tanpa menyoal sedikit pun. Takdir Allah jangan kita persoalkan. Itu bukan urusan kita. Belajarlah terima tak semua yang kita mahu akan jadi milik kita. Belajarlah terima qada dan qadar Tuhan lebih manis dari apa yang kita rancangkan. Jangan kita paksa Allah tuliskan takdir seperti yang kita mahukan”.
Mata saya masih berkaca. Lembut tutur Ummi benar-benar memujuk hati saya. Saya jadi runtun hati. Air mata terus mengalir tanpa henti. Saya dongak memandang wajah Ummi yang bersih. Lama saya pandang Ummi. Saya tak ada jawapan balas. Ummi mengesat air mata saya yang semakin deras mengalir. Saya memeluk Ummi, seeratnya, seperti tak mahu di lepaskan.
Saat saya terjaga dari mimpi, saya menangis semahunya hingga terhenjut-henjut bahu, hingga sesak dada. Saya rindukan Ummi. Saya ambil pensil dan sehelai kertas kosong lalu cuba menulis khat. Saya tak mahir menulis khat apa lagi melukis kaligrafi dan kufi. Mungkin kerana saya tidak lahir dari rahim Ummi, bakat Ummi tak tumpah kepada saya. Dalam perjalanan balik ke rumah penginapan hati saya masih sebak dengan tangisan.
Masjid Al-Aqsa, Jerusalem
11.45 pm