Malam tadi langit gelap, tak berbintang. Yang ada cuma rintik hujan membasahi bumi. Malam yang sejuk. Balik dari Markass Cafe, ambil Sekumpulan Epitaf dan Surat-Surat Yang Lewat lalu duduk mengadap balkoni bertemankan kopi pahit. Di Markass tak makan apa-apa, hanya minum teh. Lewat beberapa ini, puisi Karl Agan selalu menjadi peneman malam bila kesunyian.
Sejak balik dari Berne, Jerman, tak buat apa-apa aktiviti yang menarik. Pagi hari hanya habiskan waktu berjogging sekitar Pekan Ipoh. Jika malas hanya berenang di tasik. Tengah hari pula selain tidur, menonton VCD. Petang ke rumah anak yatim berbual soal sekolah, buku dan cikgu. Berbual kosong tentang banyak perkara termasuk soal keluarga mereka yang tak segan-segan mereka kongsikan.
Malam hari banyak habiskan masa di Khizanat mencicip kopi panas sambil membelek buku. Jika tidak ke Khizanat, ke Markass Cafe melihat anak muda dengan dunia mereka yang tersendiri. Jika Markass penuh pelanggan, curi keluar ke Cicakbo - membuang pandangan menikmati panorama malam yang suram berlatarkan bangunan tinggalan British.
Di tengah malam, banyak habiskan masa di studio sambil cuba petik gitar mainkan beberapa lagu. Malangnya not yang cuba di mainkan sering sumbang kerana tiada penghayatan. Kadang-kadang ke bilik Umar mencuri dengar Umar mengaji. Umar selalu mengaji di tengah malam. Katanya, malam waktu terbaik untuk merehatkan diri dari masalah dunia.
. . .
Saya merakam foto Pekan Ipoh yang penuh nostalgia untuk di buat kenangan. Saya tak tahu sampai bila saya akan berada di sini. Saya begitu sayangkan rumah pokok, tasik dan kabin. Saya seboleh mungkin tak mahu berpindah dari sini. Saya seboleh mungkin mahu menetap dan mati di pekan sunyi ini. Saya selesa berada di sini. Jauh dari hiruk-pikuk kesesakan, dari dunia penuh lara.
Ketika merakam foto, saya berkhayal merakam foto bersama awak berlatar belakangkan bangunan lama tinggalan penjajah.. Sambil memeluk erat bahu awak, dengan senyuman manis, awak berada di sisi saya tersenyum bahagia. Saya sepatutnya menjadi insan paling gembira ketika awak menghulur salam untuk bertemu mata setelah sekian lama kita nantikan penuh debar.
Namun tak. Saya terus menyepi, membisu dan kita tak dapat melerai kekusutan yang tersimpul. Saya, seperti yang selalu awak katakan, adalah lelaki pengecut. Entah kenapa saya tak tahu sebab-musabab saya terus menyepi, membisu. Saya sendiri tak dapat memahami diri saya sendiri. Entahlah. Saya patah semangat. Saya patah hati. Kalau bukan kerana anak-anak, saya memang tak mahu hidup lagi.
Saya selalu rindukan senyuman manis awak. Ia seperti menari-nari di mata saya. Saya rindukan bebelan manja awak. Segalanya tentang awak selalunya manis. Waktu hujan begini selalu membuat saya rindu. Rindu pada awak yang manja, garang tapi manis. Orang kata, rintik hujan selalu bawa rindu, selalu bawa bahagia. Setiap kali mengenang awak, senyuman tak pernah lekang terukir pada wajah saya. Awak yang manis-manis untuk di kenang, untuk di rindu selalu.
. . .
Keabadian kita wujud dalam hal-hal yang sederhana
seperti ketika aku menulis namaku
di telapak tanganmu,
dan kau tertawa kegelian
menahan untuk tak menyimpan tangan,
atau seperti ketika kita main-main merenung mata
berlawan untuk tak terkelip,
kerana ada sesuatu yang boleh hilang
dalam sekelip mata.
- Karl Agan