Wednesday, February 24, 2016

Dua langkah ingatan

Hari ini masuk hari ke lima abang berada di Gunung Ledang. Pagi tadi genaplah kali ke tiga sampai ke puncak gunung. Menginap di resort selama 3 hari. Baki 2 hari di tapak perkhemahan. 

Abang mendaki bersama anak-anak dan Don. Pihak pentadbiran pada awalnya tak benarkan abang bawa anak-anak kerana kawasan agak bahaya dengan beberapa cerun tinggi. Tambahan kawasan pendakian agak licin. 

Setelah berbincang, pihak pentadbiran benarkan abang bawa anak-anak mendaki dengan syarat sebarang kemalangan yang berlaku adalah di bawah tanggungjawab abang. Adamlah yang paling gembira sebab berpaut pada leher daddy. 

Abang sempat lihat matahari terbit pada hari kedua dan keempat. Hari ketiga abang bawa anak-anak mendaki hingga ke puncak untuk lihat matahari terbenam. Kemudian turun semula ke tempat penginapan. Seperti biasa, malamnya abang siapkan beberapa kerja yang masih perlukan perhatian.

Menginap di tapak perkhemahan tak sama rasanya menginap di resort. Huda dan Adam tak kisah bermalam di tapak perkhemahan tapi Umar tak mahu. Umar membebel sepanjang malam sebab dia tak dapat tidur - nyamuk banyak katanya. 

Anak-anak begitu semangat naik ke atas walaupun melalui beberapa kawasan yang sukar di daki. Abang daki perlahan-lahan bersama anak-anak. Sambil mendaki sambil berhenti makan sandwich/coklat dan minum air.

_ _ _

Abang masih ingat sayang suka sangat dengan teater Puteri Gunung Ledang (sayang suka Stephen Rahman-Hughes, yelah, kan sayang cakap suara dia sedap). Abang masih rasa kesal tak teman sayang menonton teater PGL di Istana Budaya (kalau tak silap).

Abang di Gunung Ledang. Belum bertemu dengan Puteri Gunung Ledang yang khabarnya kejelitaan tiada tandingan. Mungkinlah abang tak akan bertemu dengan puteri rupawan kerana dalam hati abang, sayang sudah cukup jelita, rupawan segala rupawan. 

Selamat malam, sayang. Moga lenamu di buai mimpi kayangan.

“Setapak melangkah, dua langkah ingatan kanda pada dinda” – Hang Tuah 



Gunung Ledang
3.53pm