Lorong yang sama. Lampu neon yang sama. Meja yang sama. Jalan raya tak begitu sibuk. Bulan tak begitu terang dan langit tak berbintang. Di lorong ini beberapa bulan yang lepas kau minta aku tinggalkan kau. Dan kerana sayang, aku lepaskan kau - seperti yang kau hendaki.
Malam ini di lorong yang sama, lampu neon masih malap seperti beberapa bulan lepas, meja dan susun aturnya masih sama. Ingatan aku berlari pantas mengenang kisah kita. Kau minta aku lepaskan kau dan aku tunaikan. Malam itu juga aku hilang dari bayangan kau. Hilang seperti asap melayang dalam kelam.
Yang bezanya, malam ini aku tenang. Menikmati malam dalam suasana neon yang malap. Menikmati setiap sudut pandangan. Telahan aku betul. Kau telah aku lepaskan perlahan-lahan. Yang ada hanya ingatan. Tak begitu rindu. Tak begitu rasa mencintai. Tahun baru. Hidup baru. Dunia baru.
Balik saja ke kabin, aku buka peti e-mel. Nama kau terpampang pada kotak e-mel. Aku tanya pada diri “Patutkah aku baca?”. Aku sign out tanpa membacanya. Ini entah kali ke berapa. Setiap kali aku move on, kau akan menjelma. Kebetulankah? Mungkinkah kebetulan hingga lebih dari empat kali? Tiba-tiba aku rasa menyampah yang amat sangat.
Aku terasa hendak bertanya. Sebenarnya apa yang kau mahukan lagi dari aku? Kau minta aku lepaskan kau, aku buat. Kau minta aku pergi jauh, pun aku buat. Aku masih tak beli hand phone untuk elakkan diri dari SMS kau. Sungguh-sungguh aku cuba jauhkan diri dari kau.
Sebenarnya, akui saja yang kau tak pernah lepaskan aku. Aku tahu ego kau menghalang dari mengakui hakikat itu.
Tamat.
Ironi. Aku masih menulis 2014 walaupun kini sudah 2015.