Sunday, July 14, 2013

Ramadhan ke lima



1.

Tahun ini tidak seperti dua tahun sebelumnya. Ramadhan kali ini anak-anak tak meniaga di bazar. Jadi tak adalah jualan amal untuk mana-mana rumah kebajikan. Harga untuk menyewa bazar naik melambung - dari RM 1300 ke RM 2100. Harga yang tidak munasabah dan agak tinggi. Tahun lepas Huda menjual kek batik, agar-agar, biskut, dan beberapa makanan lain. Ocio ada membantu. 

Pusat komuniti sudah mula beroperasi. Sabtu lepas ada beberapa kumpulan remaja datang untuk jamming, diskusi menyiapkan kerja sekolah, membaca komik, melukis. Ada beberapa kanak-kanak bermain lego dan tanah liat bersama Adam. Ada juga beberapa orang dewasa datang untuk meminjam buku. Suasananya nampak meriah. 

Saya selesai mengajar beberapa kanak-kanak membaca sekitar jam 11 pagi. Ada 3 orang pelajar tingkatan tiga datang untuk menggunakan PC bagi menyiapkan kerja mereka. Pusat komuniti ini turut menyediakan perkhidmatan mencetak (print) dan fotokopi. Saya harap dengan cara ini mereka dapat menjimatkan duit kerana saya tidak mengenakan sebarang bayaran. Saya rasa di Ipoh kos untuk mencetak sehelai kertas adalah RM 0.30.


2.

Ada beberapa remaja lelaki yang tidak berpuasa. Ada juga dalam kalangan remaja perempuan yang tidak tahu mengucap. Kelas agama akan mula beroperasi minggu hadapan. Harapnya remaja-remaja ini akan turut serta. Beberapa forum juga sedang di rangka. Remaja lelaki ini datang ke pusat komuniti untuk bermain PS3.

Saya sediakan sebuah bilik kecil untuk mereka bermain game. Mulanya kemudahan PC turut di letakkan bersama. Apabila memikirkan keadaan yang bising (akibat teruja bermain game) saya asingkan bilik game dan PC. Saya tak mahu remaja yang datang ke pusat komuniti untuk menggunakan PC rasa terganggu dan tidak selesa.

Aktiviti pertama bermula minggu depan. Jumaat petang seramai 35 orang remaja akan menyertai aktiviti amal mengagihkan makanan untuk sahur di sekitar Pulau Pinang. Malamnya mereka akan berterawih di Masjid Negeri dan selepas itu bersama-sama sekumpulan pengerak aktivisme memasak untuk sahur. Kawan saya antara penggerak pengagihan makanan sahur di sana. Aktiviti menggumpul pakaian terpakai, selimut, tikar dan segala keperluan sudah mula di jalankan sebelum Ramadhan bermula lagi. Sahur ini di sediakan/di berikan kepada geladangan.

Aktiviti untuk hari Sabtu masih lagi di teliti.


3.

Buah hati saya masih di rumah. Masih belum mendapat penempatan baru. Kerana itu, saya juga malas keluar rumah. Tetapi atas jemputan beberapa orang kenamaan, terpaksa juga ke Hilton dua hari untuk Iftar. Berbuka puasa di hotel tidak menyeronokkan. Saya melihat beberapa peristiwa yang tidak menyenangkan, juga pembaziran. Alangkah bagus kalau makanan itu tidak di buang saja tetapi di beri kepada yang lebih memerlukan.

Ramadhan memang bulan pembaziran. Sepatutnya bulan ini mendidik jiwa kita agar lebih tunduk mengenang umat Islam yang kesempitan hidup, kebuluran dan mereka yang hidup di latari kemiskinan. Tapi tidak, kebanyakan dari kita terlalu angkuh. Tidak berasa apa-apa melihat makanan di buang begitu saja. Nafsu makan kita terlalu besar.

Ada beberapa rancangan lagi untuk Ramadhan ini. Solat terawih masih mampu di lakukan kecuali semalam. Tidak ke masjid. Hanya berterawih di rumah. Selepas berbuka, muntah tak henti-henti dan kepala tiba-tiba sakit. Hingga petang ini sakit masih belum kurang.