Friday, February 07, 2014

12:23am

1.

Belum menonton Qadr. Berminat untuk menonton. Naratif yang menarik -  kemalangan bas yang mengubah kehidupan semua watak yang ada dalam cerita ini. Dalam realiti, perkara ini memang terjadi kepada banyak orang. Kemalangan boleh mengubah seorang yang normal menjadi kurang upaya – kehilangan anggota badan ataupun orang tersayang. Lebih ramai orang yang bersedia mati daripada menjadi cacat selepas kemalangan. Menghadapi realiti kehidupan baru selepas kemalangan bukan suatu yang mudah.

Kita tak dapat lari dari takdir. Kita tak pernah tahu takdir kita di hari depan. Semua orang inginkan kegembiraan, kebahagian hingga hujung nyawa tapi bukan semua orang memilikinya. Kita tidak bersedia untuk menghadapi takdir buruk dalam hidup kita. Manusia normal yang sihat tubuh badan tidak pernah sama sekali terfikir takdir hidupnya akan berubah apabila dia di sahkan menghidapi kanser – suatu virus yang belum ada rawatan mujarab untuk menyembuhkan apabila berada di tahap 4. Takdir yang baru mengubah seluruh kehidupannya.

Bagaimanakah seorang pemain bola sepak (lakonan Zahiril Adzim) akan meneruskan kehidupan setelah kakinya di potong? Seorang ayah dan suami yang kehilangan anak dan isterinya (lakonan Beto Khusyairi) Bagaimanakah seorang lelaki akan menjalani kehidupannya yang baru apabila 90% badannya melecur tahap 3? Kita tidak pernah terfikir takdir itu mungkin menjadi takdir buat kita suatu hari nanti. Kita selalu berfikir bahawa takdir yang buruk itu milik orang lain.


2.

Adam penggemar cerita cinta (walaupun masih berumur 3 tahun). Hari ini Adam (dan daddy – kena teman Adam menonton) Cerita Kita. Filem arahan Pierre Andre. Cerita ini cerita klise tapi masih menarik di tonton kerana lakonan Pekin Ibrahim yang mantap. Lakonan Yana Samsudin tenggelam bila di gandingkan dengan Pekin.

Apa yang kita cari dalam cinta? Ika (lakonan Yana Samsuddin) berkawan baik dengan Kamal (lakonan Pekin). Yana bekerja di kedai buku (jarang sekali kedai buku di jadikan scene dalam filem; sayangnya scene kedai buku hanya menjadi latar “bisu” tanpa memainkan apa-apa peranan – sekadar scene). Kamal seorang penjual burger.

Wujud Malik dalam hidup Ika. Lelaki bergaya, mempunyai kehidupan yang mewah dan pandai memikat hati wanita. Malik menawarkan kehidupan yang lebih baik untuk Ika berbanding Kamal (Ika mempersoalkan jika Kamal menikahinya mampukan Kamal menyara kehidupan mereka). Kamal tidak ada apa-apa selain cinta (yang mendalam terhadap Ika). Akhirnya Ika menyedari bahawa dia memerlukan Kamal dalam hidupnya (kebahagiaan menewaskan kekayaan).

Cerita ini walaupun cliché tetapi sudah banyak terjadi. Hakikatnya, bukan semua orang memandang kekayaan. Seorang kawan bernama Kamal “tewas” di tangan seorang guru sekolah rendah yang hanya mempunyai sebuah kereta Wira (lama) dan masih belum mampu membeli walau sebuah rumah. Sampai sekarang Kamal masih belum percaya wanita idamannya memilih seorang guru sekolah rendah sebagai teman hidup. Berkali-kali dia ketawa sambil menangis mengenangkan kekalahannya. Dia masih belum puas hati. Dalam soal cinta, paksaan tidak boleh di gunakan sebagai jalan penyelesaian.


3.

Kebanyakan drama di stesen TV merendahkan martabat cinta. Cinta suatu seni yang halus. Watak wanita terkinja-kinja ingin memberikan ciuman bukan suatu bentuk seni. Cinta bukan sekadar ciuman, pelukan dan pandangan berahi. Cinta sebenarnya lebih dari itu.