Hai Hara!
Abang baru sahaja selesai membaca puisi William C. Hanna. Puisi-puisi ringkasnya selalu memberi kesan mendalam pada abang. Anak-anak sudah tidur. Mereka kata berada di Mexico sangat mendebarkan. Umar kata dia terasa nyawanya selalu dalam bahaya. Dunia Mexico yang terkenal dengan kartel dadah, pengubahan wang haram dan segala aktiviti hitam tidak dapat tidak akan melahirkan rasa tidak selamat pada diri kita kerana kita sudah terbiasa hidup dalam keselesaan.
Malang sekali kerana Mexico selalu di kenali dengan imej buruk mereka sebagai negara yang tidak selamat untuk di kunjingi sedangkan negara ini merupakan sebuah negara yang sangat cantik. Pantainya yang bersih, laut yang membiru, juga perempuan dengan pinggul menggoda jarang di pandang rakyat luar kerana keganasan berlaku di mana-mana. Syukur, abang dan anak-anak tidak mengalami sebarang mimpi buruk di sini. Kami sangat gembira menghabiskan masa melawat muzium, perpustakaan, kedai buku dan tentunya pantai.
Tempat wajib untuk di lawati buat anak-anak ketika melancong tentu sahaja muzium. Abang bawa mereka ke Museo Nacional de Antropología. Muzium ini menyimpan seluruh sejarah orang-orang Mexico dari permulaan zaman pra-sejarah hinggalah sejarah mengenai kaum Mayan dan Aztec. Mereka juga di kenali sebagai Culhua-Mexica iaitu manusia yang hidup pada abad ke 15 dan awal abad ke 16 yang menggunakan bahasa Nahuatl. Kaum ini merupakan pemerintah bagi sebuah empayar agung di selatan Mexico.
Dari muzium, abang bawa anak-anak ke Palacio de Bellas Artes. Tempat ini merupakan hub bagi segala kegiatan kesenian di Mexico. Bangunan Palacio de Bellas Artes berdiri megah hasil rekaan arkitek terkenal Itali yang di katakan amat menyukai rekaan berbentuk neo-klasik iaitu Adamo Boari. Abang tak mampu bercerita panjang kerana abang kurang pengetahuan tentang hasil kreativiti yang di pamerkan di sini. Huda nampaknya takjub dengan hasil seni Diego Rivera, El hombre en el cruce de caminos (Man at the Crossroads).
Man at the Crossroads pada asalnya di hasilkan sebagai penghias dinding di Rockefeller Plaza iaitu plaza utama Rockefeller Centre. Walaubagaimanapun, pihak Rockefeller telah memusnahkan lukisan asli atas alasan temanya yang mempunyai sifat-sifat anti-kapitalis. Pada tahun 1934, Diego Rivera menghasilkan semula lukisan ini. Lukisan tersebut sehingga sekarang di pamerkan buat pengunjung Palacio de Bellas Artes. Terdapat banyak lagi hasil seni menarik di sini malangnya tak semua dapat abang ingati.
Kemudian abang melawat perpustakaan. Perpustakaan pertama yang abang lawati ialah Biblioteca Central. Adam tak mahu masuk kerana takut pada lukisan yang menyerupai mata burung hantu. Umar pula mengatakan bahawa bangunan ini kelihatan di conteng atau dalam istilah tepat telah “di rosakkan” akibat perbuatan “vandalisme”. Huda memberi penerangan bahawa contengan / lukisan berbentuk “mata burung hantu” yang di lukis pada dinding perpustakaan di kenali sebagai mosaic karya terkenal Juan O’Gorman.
Seterusnya abang melawat Biblioteca Miguel Lerdo de Tejada. Perpustakaan ini mempunyai reka bentuk luaran yang sangat mengagumkan. Perpustakaan ini menempatkan koleksi akhbar pada abad ke 18 dan 19. Abang tak begitu mahir tentang ilmu seni bina. Berada di sini sangat mengingatkan abang pada arwah Karl yang sangat mencintai dunia seni binaan. Agaknya, jika dia masih hidup dan bersama-sama abang di sini, tentu saja dia akan bercerita panjang lebar mengenai konsep reka bentuk Miguel Lerdo de Tejada.
Dari perpustakaan, abang bawa anak-anak ke kedai buku. Melalui pengamatan, rata-ratanya buku-buku yang di jual adalah dalam bahasa ibunda Mexico. Hal ini menunjukkan masyarakat Mexico sangat menghormati bahasa ibunda mereka. Begitu juga halnya dengan koleksi perpustakaan. Sebagai contoh, Biblioteca Vasconcelos yang mempunyai hampir 600,000 buah buku tidak mempunyai seksyen buku dalam bahasa Inggeris. Berbeza halnya dengan Malaysia yang begitu selesa meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Salah satu kedai buku yang mendapat pujian ramai ialah Librería Rosario Castellanos. Abang ke sini bersama anak-anak untuk merasai sendiri pengalaman berkunjung ke kedai ini. Dekorasinya cantik dan wajar di beri pujian. Suasananya tenteram, santai dan tenang. Banyak juga koleksi buku yang di jual di sini tetapi tiada dalam bahasa Inggeris. Abang beli beberapa naskah buku buah diri sendiri sebagai tanda kenangan. Mungkin sahaja pada masa akan datang abang akan bawa Hara ke sini untuk menikmati aroma buku.
Lawatan terakhir, abang berkunjung ke Librería Urbe. Berkunjung ke sini sangat mengujakan! Manakan tidak, Librería Urbe menjual pelbagai jenis buku yang semakin langka di pasaran, buku-buku lama yang masih berharga dan tidak lagi di ulang cetak. Tempat ini adalah syurga dunia bagi pengumpul buku-buku lama. Jika ada kedai buku yang menjual buku-buku dalam bahasa Inggeris, Librería Urbe adalah salah satunya. Di sini, abang beli 4 buah buku; dua buat diri abang, dua buat Hara tersayang.
Sehingga bertemu di warkah akan datang.
Lelaki di penjuru matamu,
Abang
Mexico City
30.12.2017