Friday, August 17, 2012

Buku


MPH buat promosi bulan ini - penghantaran percuma dengan beberapa buah buku di beri diskaun. Membeli secara atas talian memang menyenangkan tapi jika di beri kesempatan saya lebih suka membeli di kedai. Duduk berjam-jam membelek buku-buku dapat mendamaikan hati.

Saya suka melihat, membelek, memegang dan mencium harum buku. Di Malaysia, banyak kali saya kena halau dari kedai buku kerana terlalu lama membelek dan kadang-kadang membaca beberapa halaman dan jika tidak berkenan - letak kembali di rak. Hanya kedai rangkaian seperti Popular, Kino, Borders, dan MPH yang benarkan pelanggan membaca sebelum membeli. Lantas, saya lebih senang ke kedai rangkaian. Kedainya mewah dan selesa. 

Minggu lepas, dua kotak buku sampai dari AS. Bukan buku saya, buku cerita untuk anak-anak karya Dr. Seuss. 

Malaysia tidak ketandusan penulis yang baik sama ada penulis aliran mainstream mahupun alternatif. Saya menyukai karya Tehrani yang penuh idealistik. Saya turut mengagumi Roslan Jomel. Karya beliau lain daripada yang lain. Begitu juga dengan Aidil Khalid. Jika Wan Nor Azriq terbitkan kritikan sasteranya, saya pasti beli.

Ada beberapa karya alternatif yang saya beli antara lain ialah .44 dan BIN. Khairil Hisyam, Luc Abdullah antara penulis yang baik. Saya menyenangi karya mereka. Saya turut membeli Fixi. Kiranya, sebagai pembaca, saya baharu sahaja mengenali konsep pulp fiction menerusi Fixi yang saya sendiri masih kabur-kabur maknanya. Kasino dan Pecah antara novel terbaik keluaran Fixi. 

Saya bercadang membeli sebuah rumah di Meru Hills untuk di jadikan tempat meletak koleksi buku. Ruang rumah saya tidak mampu menampung koleksi buku. Saya tak mahu meletakkannya di lantai - seolah-olah biadap. Ungku Aziz meletakkan buku-bukunya berjumlah 4000 di sebuah rumah khas - begitulah sifatnya orang menghargai ilmu.

Adik bongsu saya amat menyenangi buku dan di usia 20 tahun dia sudah membeli sebuah rumah untuk meletak buku-bukunya. Rumah kecil di England, sangat klasik reka bentuknya (dia merekanya sendiri) dan di buat menggunakan kayu. Masanya banyak di habiskan di situ. Menyusun, mengemas dan memastikan buku-bukunya berbalut dan tidak rosak. 

Setiap seorang ahli keluarga saya mempunyai bilik kecil untuk di jadikan bilik bacaan. Saya mewarisi tabiat ini dari kedua orang tua saya. 

Sekadar memberitahu, Salina telah di terbitkan semula oleh Wira Bukit dalam naskah kulit keras dengan harga RM 65 dan cetakannya terhad. Salina, saya kira novel wajib baca Malaysia. Jika berminat bolehlah menempahnya dari Helmi Samad.